April 19, 2016

Ejen hartanah mati ditetak

Ipoh: Seorang pengurus ejen hartanah ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala, lengan dan paha kanan di depan Dewan Badminton Tambun di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata mayat S Selvarajoo, 49, yang hanya berkameja-T dan berseluar dalam itu ditemui seorang lelaki pada 11.35 malam, dipercayai dibunuh.

"Seluar dan dokumen diri mangsa tidak ditemui di tempat kejadian, namun polis menemui sebatang kayu warna kuning, selipar warna hitam dan kepala kapak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis juga menemui sebuah kereta Perodua Myvi milik isteri mangsa yang diletak berhampiran mayat.

Susulan itu, polis menahan empat individu termasuk dua wanita berumur 30-an dan 40-an di dua lokasi berasingan hari ini bagi membantu siasatan.

“Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan di perkarangan Balai Polis Tambun pada 3.39 petang dan merampas dua telefon bimbit.

"Dua jam kemudian polis menahan dua lagi individu dan merampas satu telefon bimbit dan kereta Toyota Avanza di Taman Sri Tambun," katanya.

Dua suspek lelaki ditahan reman tujuh hari manakala dua wanita direman dua hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

myMetro 18 April 2016


Broker hartanah mati ditetak

IPOH – Tidak sampai lima jam selepas mayat ditemui, polis menahan empat suspek termasuk dua wanita dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang broker hartanah di Tambun, malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dua daripada suspek ditahan di hadapan sebuah stesen minyak pada jam 3.39 pagi kelmarin, manakala dua lagi ditahan di Taman Sri Tambun pada jam 5.05 pagi.

Menurutnya, bagi tangkapan pertama, mereka menahan seorang lelaki berusia berusia 44 tahun dan seorang wanita berusia 41 tahun serta merampas dua telefon bimbit.

“Manakala, bagi tangkapan kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun dan seorang wanita berusia 37 tahun serta merampas satu telefon bimbit dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.

“Kedua-dua suspek lelaki direman mulai Isnin selama tujuh hari sehingga Ahad ini manakala dua wanita lagi direman selama dua hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Terdahulu, Chang Keong berkata, dalam kejadian jam 11.24 malam itu, mangsa, S Selvarajoo, 49, ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan di beberapa bahagian badan dan kepala berdarah di hadapan Dewan Badminton di sini.

Katanya, mangsa yang ditemui dalam keadaan terbaring dan pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan tetakan di bahagian sebelah kanan kepala, lengan  kanan dan paha kanan.

“Kita merampas sebatang kayu berwarna kuning, sepasang selipar hitam dan kepala kapak yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

“Selain itu, sebuah kereta Perodua Myvi juga dijumpai berdekatan mayat mangsa dan semakan mendapati kereta itu milik isteri lelaki tersebut,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
20 April 2016


Duka lepas saat ceria

Ipoh: Mendiang S Selvarajoo, 49, baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran anak lelakinya yang berusia 16 tahun, Sabtu lalu.

Sambutan hari lahir Shairvin yang juga anak kedua daripada dua beradik diraikan dalam suasana sederhana di sebuah kedai makan di tengah bandar raya ini, kelmarin, kira-kira tiga jam sebelum mangsa ditemui mati disyaki dibunuh.

Mangsa yang bekerja sebagai ejen insurans dan broker hartanah ditemui oleh orang awam dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan kesan luka dan lebam di beberapa anggota badan berhampiran kawasan luar pagar Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan Tambun, dekat sini, pada jam 12 tengah malam kelmarin.

Adik saudara mendiang, Raj Kasevan, 30, ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam, berkata, dia tidak pernah mensyaki sesuatu yang pelik berlaku kepada mendiang selepas kali terakhir bertemu dengannya, Sabtu lalu.

Menurutnya, Selvarajoo seorang yang suka membantu orang lain dan sering bersikap rendah diri.

“Saya mendapat tahu daripada isteri mangsa bahawa dia keluar dari rumah untuk urusan pertukaran nama kenderaan dengan memandu kereta seorang diri selepas menghantar keluarganya pulang sebaik selesai makan malam.

“Isteri mangsa bimbang apabila mendapati dia tidak pulang selepas jam 12 tengah malam dan menghubungi saya dan meminta bantuan untuk mengesan mangsa, namun saya gagal mengesannya sehingga membuatkan saya mengambil tindakan membuat laporan di Balai Polis Pekan Baru,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di rumah, dia mendapat tahu mangsa meninggal dunia dalam kejadian itu.

Sumber berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan termasuk kesan tetakan objek tajam di leher.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan masih dijalankan.

myMetro 19 April 2016


0 comments:

Post a Comment