April 21, 2016

‘Dia tidak boleh ditinggalkan’

Mimhat (tengah) menunjukkan kepada Ab Aziz (dua, kiri) keadaan Rizan yang memerlukan bantuan untuk bergerak.

BATU PAHAT - “Dah sembilan bulan saya tak berniaga... ini disebabkan keadaan anak sulung saya yang koma dan masih tak sedarkan diri,” kata Mimhat Rahmat, 49.

Mimhat berkata, anaknya, Muhammad Rizan, 24, telah terlibat dalam kemalangan di Jalan Tanjung Laboh, berhampiran Taman Banang Jaya.

Katanya, lebih memilukan ia berlaku pada malam Hari Raya Aidilfitri dan ketika kejadian, anaknya yang menunggang motosikal terjatuh sebelum dilanggar motosikal lain dari arah belakang.

“Sejak kejadian itu, saya tak lagi melihat gelak tawa Rizan, yang ada hanyalah keadaannya yang terbaring atas katil dan tak mampu untuk bergerak seperti sebelumnya.

“Dalam tempoh itu jugalah saya berkorban menjaganya sepanjang hari, dalam masa sama saya terpaksa berhenti kerja bagi memastikan dia berada dalam keadaan terbaik.

“Dia tak boleh ditinggalkan, sebab itulah saya bergilir dengan isteri menjaganya...saya menjaganya di sebelah siang, manakala isteri (Salmi Mujayin, 49) akan menggantikan saya ketika saya tidur dan berehat,” katanya ditemui pada program Lawatan Mesra Rakyat, Warga Istimewa Bindu.

Program dianjurkan Parlimen Sri Gading itu, diketuai Ahli Parlimennya, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang melawat enam rumah golongan memerlukan di Kampung Bindu.

Mimhat mengakui terbeban dengan keadaan kewangan memandangkan dia kini tidak bekerja dan hanya mengharapkan gaji isteri yang bekerja di sekolah dengan pendapatan sekitar RM900 sebulan.

Katanya, selain mempunyai empat lagi anak bersekolah, perbelanjaan untuk menguruskan Rizan juga agak tinggi, terutamanya untuk membeli susu yang kini menjadi makanan hariannya.

“Susu berkenaan agak mahal harganya, satu tin sekitar RM72. Kami perlu membelinya untuk tiga tin dalam masa seminggu.

“Kami juga terbeban dengan kos pengangkutan untuk rawatan susulan Rizan. Dia perlu menukar saluran makanannya setiap dua minggu di klinik kesihatan berhampiran.

“Dalam masa sama, dia juga perlu mendapatkan rawatan setiap bulan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat dan setiap dua bulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru,” katanya.

Tambah Mimhat, Julai nanti, genaplah setahun kejadian menimpa Rizan dan berharap anak sulungnya itu sembuh.

Wartawan Sinar Harian
21 April 2016

0 comments:

Post a Comment