April 19, 2016

‘Cari ayah dekat masjid’

Kenangan terakhir Allahyarham Mohd San bersama cucunya.

TANJONG KARANG - “Kalau jadi apa-apa, cari ayah dekat masjid”. Itulah pesanan terakhir seorang warga emas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 66.5 Jalan Klang-Teluk Intan di Parit 1, Sungai Sireh, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, mangsa, Mohd San Omar, 73, dipercayai dalam perjalanan menghadiri kuliah agama di masjid berhampiran dengan menunggang motosikal seorang diri dari Surau Tali Air 3.

Anak mangsa, Norkhasanah Mohd San, 30, berkata, sudah menjadi rutin harian bapanya mengikuti kuliah agama setiap Isnin malam di Masjid Batu 10 selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak di surau berhampiran.

“Ayah sempat bagi tahu dia nak pergi masjid nak dengar kuliah agama dan masa tu saya tak fikir apa-apa. Tapi yang peliknya, ayah sempat pesan kalau jadi apa-apa, cari dia dekat masjid.

“Tak lama lepas tu, jiran beritahu ayah kena langgar dan meninggal dunia di tempat kejadian. Memang terkejut dan hanya ALLAH SWT saja tahu perasaan ketika itu,” katanya sebak.

Anak sulung mangsa, Noorhisham Mohd San, 51, berkata, dia juga terkejut menerima berita mengenai ayahnya melalui aplikasi WhatsApp pada jam 9.08 malam.

Dia bergegas ke hospital dari Sungai Besar untuk menguruskan jenazah ayahnya dan selamat dikebumikan, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kereta Toyota Vios yang datang dari arah sama sebelum terjatuh di bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, sebuah lagi kenderaan Toyota Innova, cuba mengelak kemalangan itu bagaimanapun gagal dan terbabas masuk ke dalam parit di laluan bertentangan.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, dua penunggang motosikal maut selepas bertembung di Jalan Masjid Baruh, kira-kira jam 8.20 malam kelmarin.

Mangsa, Muhammad Shukri Ramli, 29, yang datang dari arah Tanjong Karang menghala Kampung Seri Tiram Jaya melalui Jalan Masjid Baruh, dipercayai bertembung dengan Mohd Syahril Jamal, 18.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah, mengesahkan menerima laporan dua kes kemalangan itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang ada maklumat nahas itu diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian 14 Apr 2016


Rutin ilmu berakhir

Tanjung Karang: Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun maut ketika dalam perjalanan ke masjid selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan sehingga terbabas dalam parit di Parit 1, Sungai Sireh di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Mohd San Omar dikatakan menunggang seorang diri dalam perjalanan ke Masjid Batu 10 untuk mengikuti ceramah agama selepas menunaikan solat Isyak di surau Tali Air 3.

Anak perempuan mangsa Norkhasanah Mohd San, 30, berkata, sebelum kejadian, bapanya seperti biasa bersiap untuk solat jemaah di surau terletak 100 meter dari rumah.

“Bapa saya kemudian terus ke masjid berkenaan untuk mengikuti kuliah agama yang diadakan setiap Isnin dan saya hanya mengetahui kejadian ini selepas jiran datang ke rumah memaklumkan kemalangan itu.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi sempat berpesan jika ada apa-apa berlaku pada dirinya, cari di Masjid Batu 10,” katanya.

Katanya, pemergian arwah memberi kesan memandangkan dia tinggal bersama bapanya itu selepas bercerai setahun lalu.

Katanya, selain itu, mereka juga baru memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi kukus ayam berempah di depan rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ruslan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal, kereta Toyota Vios dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang berada di laluan sama.

myMetro 13 April 2016


0 comments:

Post a Comment