April 21, 2016

Budak maut dipatuk ular

MURID tahun satu, Nuri Nadirah Ruslan (kiri), yang meninggal dunia dipercayai dipatuk ular dalam kejadian di perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Hashim 1. FOTO ihsan keluarga mangsa.

Kota Bharu: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dipercayai dipatuk seekor ular di betis kiri di perkarangan Sekolah Kebangsaan Dato Hashim 1, Pengkalan Chepa, jam 10.30 pagi tadi.

Mangsa, Nuri Nadirah Ruslan menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa.

Ketika waktu rehat, mangsa bermain dengan rakannya di kawasan sekolah dan dipercayai dipatuk ular.

Ibu mangsa, Wan Nor Izzatul Azwana Wan Mohamad, 28, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja sebelum dimaklumkan pihak sekolah anak sulungnya pengsan di dalam kelas.

"Saya bergegas ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa dan melihat anak sudah tidak sedarkan diri," katanya di sini, hari ini.

myMetro 19 Apr 2016


'Syurga menunggu mu anakku...'


Kota Bharu: “Saya sebagai manusia biasa mengakui masih sedih. Dialah seorang anak, dialah seorang rakan yang paling rapat dan sayalah tempat melayan cerita-cerita budak-budaknya, sampaikan nama kawan-kawan dia di sekolah pun saya ingat.

“Tapi Allah lebih sayangkan dia. Sama-samalah kita terima qada dan qadar Allah SWT. Yang pastinya taman syurga menunggu mu anakku. Kita semua yang belum pasti di mana. Samalah berdoa menuju ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang beriman," kata Ruslan Gazali, 33, bapa Nuriey Nadhirah, 7, yang meninggal dunia selepas dipercayai dipatuk ular dalam pekarangan

Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Hashim 1, Pengkalan Chepa, di sini, kira-kira 9.30 pagi semalam.

Ruslan memuat naik status itu di Facebook (FB)nya kira-kira lima jam selepas jenazah anaknya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Che Latiff, Jalan Kuala Besar, Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, pagi tadi.

Selain itu, dia turut menjelaskan mengenai apa yang berlaku malam tadi-‘viral’ kononnya anaknya hidup semula selepas berlaku pergerakan anggota badan ketika urusan mandikan jenazah dan mahu dikafankan, malam kelmarin.

Ruslan turut meminta supaya gambar jenazah anaknya yang tersebar dibuang dan tidak lagi disebarkan, selain jangan menokok tambah cerita.

Berikut nukilan Ruslan:

"Alhamdulillah. Kak Long (panggilan untuk Nuri Nadhirah) sudah dikebumikan pada jam 10 pagi tadi. Saya ucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga dan rakan yang banyak membantu dan memberi semangat.

Mengenai cerita Kak Long hidup semula, itu adalah salah faham sahaja. Kak Long sudah disahkan tiada di Hosital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, petang kelmarin lagi dan tiba di rumah saya pada jam 6.30 petang. Selepas Maghrib, jenazah dimandikan. Siap jenazah dimandikan, diangkat dan diletakkan di atas kain untuk dikafankan, masa nak letakkan jenazah di atas kain kafan itu, dia (jasad Nuri Nadhirah) tersedu dua kali.

Kami ahli keluarga dan sahabat berbincang untuk panggil doktor supaya periksa di rumah untuk kepastian, walaupun hati sudah rasa yang kak long sudah tiada. Sebelum Doktor sampai, ada lima ke enam orang yang cuba tengok keadaan jenazah dan daripada itu ada seorang dua yang cakap jenazah masih ada, cuma slok (ikut dialek Kelantan yang bermaksud koma).

Tidak lama kemudian, sekumpulan doktor tiba dan membuat pemeriksaan mengesahkan jenazah sudah tiada. Kemudian, satu kumpulan doktor sukarela tiba dan berterusan hingga tiga kumpulan pegawai perubatan. Semua mereka mengesahkan Nuri Nadhirah sudah tiada dan saya sebagai bapa tidak lagi membenarkan sesiapa pun untuk menyentuh jenazah itu.

Kedaan tersebut lah yang menimbulkan salah faham dan buah mulut yang direka-reka. Maklumlah orang yang hadir terlalu ramai, beratus-ratus dan memandangkan keadaan sudah lewat malam, kami di pihak keluarga memutuskan urusan pengebumian dijalankan pagi esok (Rabu).

Setakat hari ini, yang saya tahu, ular yang patuk Kak Long masih belum dijumpai di sekolah tersebut. Gambar ular yang diviralkan itu pun tidak benar, hanya direka sahaja. Dan mintak tolong buang gambar di hospital yang muka arwah diikat (sedih tengok). Saya minta semua rakan FB, perbetulkan cerita, jangan lah ditokok tambah.

Cerita di sekolah dan hospital, saya pun kurang pasti disebabkan saya dari Kuantan, Pahang jam 12 tengah hari dan tiba di Kota Bharu pada jam 3.30 petang, anak sudah meninggal dunia ketika itu. Saya juga tidak pasti jenis ular yang mematuknya.

Minta maaf kepada semua kerana tidak sempat untuk cerita perkara sebenar dan tidak sempat melayan panggilan, Whatsapp dan FB. Terima kasih juga diucapkan kepada pihak jabatan kerajaan yang sempat hadir ke rumah. Saya sebagai manusia biasa mengakui masih sedih. Dia lah seorang anak, dia lah seorang rakan yang paling rapat dan saya lah tempat melayan cerita-cerita budak-budaknya, sampaikan nama kawan-kawan dia di skolah pun saya ingat.

Tapi Allah lebih sayangkan dia. Sama-samalah kita terima qada dan qadar Allah SWT. Yang pastinya taman syurga menunggu mu anakku. Kita semua yang belum pasti di mana. Samalah berdoa menuju ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang beriman," katanya.

myMetro 20 April 2016

0 comments:

Post a Comment