April 22, 2016

Buaya muncul bawah jambatan

BUAYA tembaga yang ditemui penduduk Klebang. FOTO Nur Saliawati Salberi

Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Seekor buaya tembaga sepanjang lebih satu meter ditemui muncul di bawah jambatan berhampiran Empangan Pasang Surut Klebang, di sini, tadi.

Kehadiran buaya berkenaan disedari oleh seorang penduduk kira-kira jam 12.30 tengah hari yang kebetulan berada di kawasan itu.

Buaya itu dikatakan naik keatas batu dibawah jambatan berkenaan sebelum masuk semula ke dalam air apabila orang ramai mula berkumpul di situ.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Noorzakiah Hanum Mohd Noh berkata, kawasan berkenaan dan berhampirannya adalah habitat reptilia berkenaan selain pihaknya juga ada memasang papan tanda di kawasan itu.

Katanya, faktor cuaca yang panas masa ini menyebabkan buaya itu naik ke atas untuk berjemur sebelum menghilangkan diri.

myMetro 22 April 2016


Sang Bedal tinjau

BUAYA tembaga yang muncul di Empangan Pasang Surut, Klebang.

Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my

Melaka: Penduduk yang tinggal berhampiran Lorong Kampung Tengah Klebang, dekat sini, gempar dengan kehadiran sang bedal sepanjang dua meter dipercayai spesies buaya tembaga yang timbul di Empangan Pasang Surut Klebang, jam 12.30 tengah hari semalam.

Kejadian disedari penduduk yang kebetulan berada di kawasan itu nampak reptilia terbabit naik ke kawasan berbatu di bawah jambatan berhampiran.

Penduduk, Mohd Hafiz Abd Rahman, 27, berkata, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Telok Gadong untuk bersiap sebelum menunaikan solat Jumaat berhenti di tempat berkenaan apabila penduduk berkumpul di situ.

“Penduduk memaklumkan mengenai kehadiran buaya tembaga berenang di bawah jambatan terbabit.

“Lima tahun lalu, penduduk pernah digemparkan dengan kehadiran empat reptilia sama dipercayai spesies tembaga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka Noorzakiah Hanum Mohd Noh berkata, kawasan sekitar empangan itu adalah habitat buaya.

“Kami memasang papan tanda bagi memaklumkan kepada orang ramai mengenai kewujudan reptilia itu,” katanya.

myMetro 23 April 2016


Nelayan nampak dulu

IHSAN JPAM

Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Pengunjung Pantai Puteri, di sini, hari ini, cemas selepas buaya dipercayai tembaga muncul di kawasan pantai itu, pagi ini.

Buaya itu dilihat timbul, pada 10.30 pagi, dan berlegar di kawasan pantai itu sebelum hilang setengah jam kemudian.

Nelayan yang menyedari kehadiran reptilia berkenaan kemudian memaklumkan kepada orang ramai.

Mereka menyuruh pengunjung yang mandi-manda di kawasan itu segera naik pantai ke darat.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), berkata sebaik menerima maklumat orang awam, pihakya kemudian membuat rondaan di kawasan pantai sebelum ternampak reptilia itu.

"Bagi menjamin keselamatan pengunjung, JPAM kemudian menaikkan bendera merah," katanya.

myMetro 23 April 2016


0 comments:

Post a Comment