April 19, 2016

Bayi dua tahun derita tiga penyakit

Zurina memberikan susu kepada Muhammad Amar Firdaus menggunakan tiub khas.

NORAWAZNI YUSOF

KUANTAN –  Perkembangan Muhammad Amar Firdaus Ayob berbeza dengan bayi seusianya kerana dia tidak mampu merangkak, berjalan apatah lagi berlari.

Anak kecil berusia dua tahun itu hanya mampu terbaring dan meniarap di atas tilam sejak dilahirkan akibat komplikasi tiga jenis penyakit dihidapinya iaitu jantung berlubang, saluran jantung sempit dan masalah paru-paru.

Ibunya, Zurina Othman, 39, berkata, susulan keadaannya itu, anak bongsu dari empat beradik terbabit perlu diberikan perhatian sepenuhnya.

Menurutnya, dia reda dengan ujian dari ALLAH SWT yang mengurniakannnya seorang anak yang dianggapnya amat istimewa itu.

“Saya bersalin ketika usia kandungan 35 minggu dan ketika lahir berat anak saya hanya 1.9 kilogram.

“Ketika itu air ketuban saya dah kering jadi doktor terpaksa buat pembedahan.

“Selepas dia (Muhammad Amar Firdaus) dilahirkan, doktor sahkan dia ada sakit jantung berlubang dan saluran jantung sempit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Goh di sini, kelmarin.

Zurina berkata, disebabkan penyakit dihidapinya, fizikal dan minda Muhammad Amar Firdaus terbantut malah sehingga kini dia tidak mampu bercakap serta berjalan.

Katanya, disebabkan masalah itu, kos pembedahan sebanyak RM38,000 diperlukan bagi membolehkan jantung anaknya itu berfungsi secara normal.

“Bukan tak mahu beri yang terbaik untuk anak, tapi dengan pendapatan bulanan yang tak seberapa, sukar bagi saya menampung kos pembedahannya.

“Kalau ikutkan anak saya kena jalani pembedahan lebih awal di Institut Jantung Negara (IJN) tapi disebabkan jumlah kos tak cukup, saya terpaksa tangguhkan,” katanya.

Demi memastikan anaknya sihat seperti kanak-kanak lain, dia mengakui terpaksa membuat rayuan untuk mengurangkan kos pembedahan di IJN disebabkan desakan hidup.

Katanya, dia memerlukan tempoh masa yang lama untuk mengumpulkan wang memandangkan keluarganya bukan berada.

“Hidup sekadar ala kadar sahaja. Jika nak harapkan simpanan suami (Ayob Ismail, 46,) yang bekerja sendiri sebagai mekanik memang tidak cukup. Gaji bulanan dia pula tidak menentu kadang-kadang dapat RM1,000 sebulan.

“Kos untuk susu khas dan rawatan di hospital juga mencecah RM2,000 sebulan, mujurlah ada ahli keluarga yang banyak bantu kami.

“Permohonan untuk mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sehingga kini masih belum ada apa-apa perkembangan walaupun sudah lama saya mohon,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional  (BSN) Ayob Ismail 0600141000088227.

Sinar Harian 16 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment