January 2, 2016

Ringan jadi serius

Melaka: Keluarga kepada seorang remaja perempuan meluahkan rasa kesal dengan tindakan seorang doktor di sebuah hospital kerajaan di negeri ini yang didakwa cuai ketika merawat gadis berkenaan yang mengalami kecederaan dalaman serius akibat kemalangan.

Siti Nursyuhadah Mohd Mazlan, 16, mengalami kecederaan serius selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan Sekolah Menengah Seri Pengkalan, Alor Gajah, di sini, jam 8.30 pagi, Selasa lalu. Bagaimanapun, doktor yang merawat hanya memaklumkan dia cedera ringan.

Ibunya, Siti Hadijah Hatta, 34, berkata, Siti Nursyuhadah yang juga pelajar GiatMara Simpang Ampat dikejarkan ke unit kecemasan hospital terbabit untuk mendapatkan rawatan sejurus kejadian.

Wanita itu mendakwa selepas menjalani pemeriksaan, doktor memaklumkan anaknya hanya mengalami kecederaan ringan walaupun ketika itu Siti Nursyuhadah meraung kesakitan.

Dakwanya, Siti Nursyuhadah turut mengadu sakit pada perut, namun doktor memaklumkan ia mungkin kesan daripada hentakan ketika jatuh dan hasil ujian diagnostik (X-ray) serta imbasan sebanyak dua kali menunjukkan tiada kecederaan serius dan hanya kemungkinan ada kecederaan dalaman.

Menurutnya, pada masa sama, doktor terbabit turut memaklumkan Siti Nursyuhadah perlu dihantar ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan dia bersetuju dengan perkara itu.

Katanya, dia dan keluarga berasa cemas kerana sejurus tiba di Hospital Melaka, kakitangan bertugas mengesahkan Siti Nursyuhadah kritikal dan terus dibawa ke zon merah untuk menerima rawatan.

Siti Hadijah berkata, selepas tiga hari di Hospital Melaka, Siti Nursyuhadah masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) berikutan pendarahan dalaman yang dialami gadis itu masih berlaku.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ghazale Othman berkata, dia sudah menerima laporan kesihatan Siti Nursyuhada dari kedua-dua hospital dan dibincangkan dalam mesyuarat sebelum ini.

Ghazale berkata, hasil semakan pihaknya mendapati doktor merawat Siti Nursyuhadah sudah menjalankan rawatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk merujuk pesakit ke Hospital Melaka.

myMetro 1 Jan 2016


0 comments:

Post a Comment