January 3, 2016

Penyamun hentak kepala peniaga

Kampar: Peniaga kelapa sawit cedera di kepala dipercayai dihentak dengan batu oleh tiga penyamun dalam kejadian di Kuala Dipang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada 1 tengah hari itu, pacuan empat roda dan selaras senapang patah serta peluru milik mangsa turut dilarikan penyamun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, mangsa yang berusia 49 tahun mendakwa didatangi tiga lelaki berusia 40 hingga 50-an di premis perniagaannya di Keboi, Kuala Dipang yang meminta air minuman.

"Mangsa ketika itu sedang mengemas premis perniagaannya sebelum didatangi tiga lelaki yang bertanyakan mangsa mengenai kandang babi di kawasan itu dan meminta air untuk minum.

"Dalam masa yang sama suspek mengeluarkan satu barang menyerupai pistol dan mengacukannya ke arah mangsa. Mangsa yang ketakutan cuba lari namun dikejar sebelum ditangkap dan diikat oleh suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian memukul mangsa dengan menggunakan objek tumpul disyaki batu di kepala dan mangsa menjerit meminta tolong sebelum ketiga-tiga suspek melarikan diri.

"Suspek melarikan kenderaan mangsa jenis Ford Ranger serta senapang patah dan kira-kira 15 peluru, selain merampas barangan mangsa termasuk telefon bimbit dan dompet mangsa yang mengandungi wang tunai RM500.

"Mangsa dihantar ke Hospital Kampar oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan," katanya.

myMetro 2 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment