January 1, 2016

Mayat bayi ditinggal dalam masjid


Beg plastik mengandungi mayat bayi lelaki yang ditinggalkan dalam masjid Kampung Expo Kamunting, Taiping, pagi tadi. - Foto NOR RAIDAH AWANG

Taiping: Mayat bayi lelaki ditemui ditinggalkan dalam masjid Kampung Expo, Kamunting, Taiping, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mayat bayi berkenaan ditemui siak masjid berkenaan dalam beg plastik hitam yang ditinggalkan di depan pintu masuk ruang solat jemaah wanita.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati ada sekeping nota ditinggalkan bersama mayat bayi berkenaan.

"Nota itu meminta mayat bayi berkenaan diuruskan kerana pihak yang meninggalkan mayat itu tidak berkemampuan," katanya.

Menurutnya, mayat bayi lelaki itu dibawa ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat.

"Polis akan menjalankan siasatan berhubung kes ini bagi menjejaki suspek yang bertindak meninggalkan mayat bayi lelaki itu," katanya.

myMetro 31 Disember 2015



Tok siak jumpa mayat bayi dalam plastik

TAIPING – Seorang tok siak di Masjid Jamek Kampung Expo, Kamunting di sini semalam tidak menyangka plastik hitam yang ditemui­nya di atas lantai masjid tersebut berisi mayat seorang bayi lelaki.

Mayat bayi malang yang cukup sifat itu ditemui pada pukul 9.20 pagi ketika tok siak itu sedang mengemas ruang solat wanita di masjid berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Ismail Che Isa berkata, mayat itu dijumpai dalam keadaan dibungkus dengan kain batik berwarna merah sebelum dan dimasukkan ke dalam plastik hitam.

Katanya, terdapat nota ringkas bertulis “minta jasa baik pihak masjid untuk uruskan jenazah bayi ini atas sebab ketidakmam­puan kami” di luar bungkusan tersebut.

“Bayi ini dipercayai telah dilahirkan kira-kira dua atau tiga hari lalu. Tiada tali pusat ditemui dalam bungkusan tersebut.

“Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelasnya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan individu yang me­lakukan perbuatan tersebut.

Kosmo 1 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment