January 2, 2016

Honda Stream klon RM4,500

ANGGOTA JPJ memeriksa kereta klon yang dirampas.

Port Dickson: Seorang suri rumah ‘berputih mata’ apabila Honda Stream yang baru sebulan digunakannya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejurus pemeriksaan mendapati ia kenderaan klon di Jalan Pantai, Batu 2, di sini, kelmarin.

Difahamkan, wanita berusia lingkungan 30 tahun itu dalam perjalanan dari rumahnya menghala ke Bagan Pinang, di sini, untuk membeli barangan keperluan harian sebelum ditahan anggota JPJ yang menjalankan pemantauan jam 11 pagi.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Negeri Sembilan Rosilan Md Sari berkata, anggota JPJ melihat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream yang mencurigakan dan menahannya untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap enjin dan nombor casis mendapati ia kenderaan klon. Kami kemudian menyoal siasat pemandu wanita terbabit untuk siasatan lanjut.

“Wanita terbabit mendakwa membeli kenderaan terbabit dengan harga RM4,500 daripada seorang ejen kereta di Johor, bulan lalu,” katanya.

Rosilan berkata, pihaknya mengesyaki kenderaan itu dibeli daripada sindiket kereta klon yang dibawa masuk dari Singapura.

“Kenderaan berkenaan disita bagi siasatan terperinci. JPJ juga sedang giat mengesan sindiket yang menjalankan kegiatan itu,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pemilik menyedari mereka menggunakan kenderaan tidak sah kerana dibeli dengan harga murah berbanding pasaran.

Beliau berkata, individu yang mengesyaki kenderaannya diklon diminta tampil ke pejabat JPJ berhampiran dan menyerahkannya secara sukarela bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan.

myMetro 1 Jan 2016




0 comments:

Post a Comment