January 3, 2016

Hero kecil selamat keluarga

MOHAMAD Faiz (dua dari kiri) bersama adiknya Mohd Azmeer (kanan) dan Danish Iman melihat rumah sewa keluarga mereka yang musnah.

Kangar: Seorang kanak-kanak lelaki memberanikan diri apabila cuba masuk ke dalam rumah sedang terbakar untuk memaklumkan kepada ibunya dan saudara -mara lain supaya menyelamatkan diri selepas kediaman itu dijilat api dalam kebakaran di Kampung Bohor Gonchar, Behor Temak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang, Danish Iman Azmin, 6, sedang bermain di luar rumah sewa keluarganya sebelum ternampak api marak di bahagian atas rumah dua tingkat jenis kayu berusia lebih 60 tahun itu.

Danish Iman berkata, apabila melihat api memamah rumah terbabit, fikirannya terlintas akan keselamatan ibunya Shukrah Abdul Aziz, 50-an, dan beberapa saudara-mara yang turut bertandang ke rumah mereka ketika itu.

“Saya bermain dengan sepupu di luar rumah dan apabila ternampak api di bahagian atas rumah, saya hanya terfikir keselamatan ibu lalu berlari ke dalam rumah menyuruhnya keluar menyelamatkan diri.

“Namun sebaik tiba di pintu rumah, saya terdengar suara ibu memanggil nama saya dan menghalang saya masuk ke dalam rumah, namun sempat menarik tangan ibu ketika keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini,

Katanya, dia pernah melihat berita kebakaran di televisyen sebelum ini menyebabkan dia terfikir keselamatan ibunya yang berada di dalam rumah kerana bapa dan abangnya menunaikan solat Jumaat di Masjid Behor Temak, di sini.

Abang sulungnya, Mohamad Faiz Azizi, 25, berkata dia bersama bapanya Azmin Abd Rahman, 60-an, bersama enam adiknya terkejut melihat kejadian terbabit ketika pulang dari masjid selepas menunaikan solat Jumaat.

myMetro 2 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment