January 3, 2016

Dua penumpang bas ekspres parah

Keadaan bas ekspres yang melanggar belakang lori tangki pagi tadi. FOTO ihsan bomba

Tapah: Lima cedera termasuk dua parah, manakala enam lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dengan lori tangki di KM313.5 Lebuhraya PLUS arah selatan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa yang parah adalah penumpang bas, Ong Yong Lien, 31, dan Mohd Sharipudin Shariff, 48, masing-masing parah di kepala dan patah kaki kanan.

Mereka dibawa ke Hospital Tapah bagi mendapatkan rawatan.

Tiga lagi yang cedera termasuk pemandu bas turut dihantar ke hospital sama dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, kemalangan membabitkan bas ekspres dengan seorang pemandu dan 10 penumpang yang merempuh belakang lori tangki.

"Siasatan awal mendapati bas yang dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur itu sedang menuruni bukit dan mahu memotong lori berkenaan yang berada di lorong kiri tetapi gagal lalu merempuh belakang sebelah kanan lori itu.

"Akibat rempuhan itu, dua penumpang bas parah manakala tiga lagi termasuk pemandu bas cedera dan dirawat di Hospital Tapah. Enam lagi penumpang yang tidak mengalami kecederaan meneruskan perjalanan dengan menaiki bas lain," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 2 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment