December 28, 2015

Terbaring kaku depan tandas

Mayat Suardi yang ditemui di hadapan tandas di tingkat dua Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, Kota Tinggi.

Kota Tinggi: Pengunjung Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang Kota Tinggi, gempar apabila menemui seorang lelaki terbaring di lantai depan tandas awam tingkat dua terminal itu, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Superintendan Rahmat Othman berkata, anggota polis dari Balai Polis Batu Ampat bersama anggota kereta peronda (MPV) bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam jam 7.10 malam.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian mereka mendapati seorang lelaki dikenali sebagai Suardi Jalil, 53, bertaraf penduduk tetap terbaring kaku di tempat kejadian.

“Pegawai perubatan Hospital Kota Tinggi (HKT) yang turut dikejarkan ke tempat kejadian mengesahkan kematian lelaki itu.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati kematian mangsa tidak membabitkan sebarang unsur jenayah dan siasatan lanjut mendapati mangsa mempunyai rekod kesihatan dan menghidap penyakit angin ahmar dan tekanan darah tinggi,” katanya.

Rahmat berkata, mayat dibawa ke HKT untuk pemeriksaan lanjut dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

“Buat masa ini mayat Suardi masih di bilik mayat HKT dan akan di hantar ke Medan, Indonesia, Isnin ini,” katanya.

myMetro 27 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment