December 28, 2015

Terbaring depan bilik emak

Alor Gajah: Wanita berusia 66 tahun dikejutkan dengan penemuan mayat anak lelakinya di dalam rumah mereka di Batu 21 1/4 Kampung Pulau Sebang, kira-kira 10 pagi, hari ini.

Mangsa, Mohd Ridwan Tambi Chik, 37, ditemui terbaring di depan bilik ibunya dalam keadaan mula mereput dan berbau.

Menurut jurucakap polis, berdasarkan keadaan ketika ditemui mangsa dipercayai meninggal dunia antara lima hingga enam hari lalu.

"Pemeriksaan turut menemui tompokan darah pada kepala mangsa, kusyen dan lantai rumah. Namun, kami tidak menemui sebarang senjata untuk mengaitkan kematiannya dengan unsur jenayah.

"Arwah pulang bercuti pada 18 Disember lalu. Dia sendirian di kediaman itu. Apabila ibunya ke Kuala Lumpur untuk menziarahi adik-beradik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhamad Ismail Muhamad Yusuf, berkata kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk bedah siasat. Jika laporan menunjukkan kematian lelaki itu mempunyai kaitan dengan unsur jenayah kertas siasatan akan dibuka semula," katanya.

myMetro 27 Disember 2015


Mayat reput pekerja kapal kes mati mengejut - Polis 

ALOR GAJAH: Polis mengesahkan kematian seorang pekerja kapal dengan kesan darah di kepala di rumahnya di Batu 21 1/4, Kampung Pulau Sebang, di sini, Ahad lalu sebagai kes mati mengejut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Muhamad Ismail Muhamad Yusuf, berkata bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian adalah disebabkan pendarahan usus.

"Hasil laporan bedah siasat yang dilakukan mendapati, mangsa menghidap masalah pendarahan usus dan meninggal dunia kira-kira tiga hari sebelum mayatnya ditemui.

"Kesan darah yang ditemui bukan berpunca daripada kepala mangsa, tetapi mangsa dipercayai mengalami muntah darah sebelum meninggal dunia.

"Selepas hasil laporan bedah siasat diterima, polis mengklasifikan kes sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.

BH pada Isnin lalu melaporkan, mayat Mohd Ridwan Tambi Chik, 37, ditemui terbaring di depan bilik oleh ibunya yang baru tiba dari Kuala Lumpur, kira-kira jam 10 pagi.

Ibu mangsa berusia 66 tahun yang curiga dengan bau busuk dari dalam rumah terkejut melihat anak keempat daripada lima beradik itu terbaring dengan keadaan mayat sudah reput dan berbau busuk. Wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Berita Harian 29 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment