December 31, 2015

Sindiket Love Scam kaut 
RM5.84 juta tipu 131 wanita

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Sindiket Love Scam terus mengganas apabila mengaut RM5.84 juta lagi selepas menipu 131 wanita dalam tempoh 27 hari pada bulan ini.

Angka terbaharu tersebut menjadikan jumlah kerugian keseluruhan sindiket didalangi warga Nigeria itu sejak awal tahun ini meningkat kepada RM201 juta.

Bagi kes penipuan sindiket African Hacker pula, sepanjang tempoh 27 hari dalam bulan ini sebanyak 13 kes dilaporkan dengan kerugian RM813,673.1

Jika dicampur dengan kerugian hasil penipuan sindiket Love Scam dan African Hacker, jumlah wang yang telah selamat ‘diterbangkan’ ke Nigeria oleh anggota sindiket terlibat tahun ini ialah RM255 juta.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, sepanjang 27 hari dalam bulan ini, pihaknya mendapati terdapat dua kes penipuan sindiket Love Scam yang melibatkan kerugian besar.

Beliau berkata, kes pertama dilaporkan pada 7 Disember lalu oleh seorang pemaju wanita di Sabah berusia 58 tahun yang melibatkan kerugian RM265,312.10.

Menurutnya, wanita itu terpedaya selepas dipujuk untuk membayar yuran guaman teman lelaki Inggerisnya yang dikenali di Facebook kerana lelaki itu mendakwa majikannya tidak dapat membayar gajinya selama dua tahun dengan alasan dia tidak mempunyai akaun tempatan.

Katanya, wanita itu diminta membuka satu akaun agar gaji tersebut dapat dimasukkan namun terpaksa membayar yuran guaman dalam akaun lain dan selepas membayar RM265,312.10 melalui beberapa transaksi, wanita itu rasa ditipu dan terus membuat laporan polis.

“Kes kedua pula dilaporkan oleh seorang pesara wanita berusia 56 tahun di Gombak yang kerugian RM223,100 selepas teman lelaki berasal dari United Kingdom yang dikenali di Facebook meminjam wangnya sebagai bayaran cukai untuk menuntut harta bapanya di Sabah.

“Mangsa sedar ditipu dan membuat laporan polis selepas teman lelakinya itu enggan membayar wang yang dipinjam malah mendesaknya memasukkan sejumlah wang lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, Roslan memberitahu, kes terbesar melibatkan sindiket African Hacker bulan ini pula membabitkan seorang kerani syarikat di Damansara di sini yang ditipu melalui e-mel selepas membuat pembelian barangan daripada sebuah syarikat pembekal bernilai RM108,792.28.

“Apabila barangan yang dipesan tidak tiba mangsa menghubungi syarikat tersebut dan terkejut selepas mendapati bayaran itu tidak diterima. Siasatan mendapati e-mel kerani itu telah digodam dan pembayaran yang dibuat sebenarnya masuk ke dalam akaun penggodam,” katanya.

Sehubungan itu, Roslan menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati jika berurusan melalui Facebook atau e-mel.

Katanya, cara terbaik untuk mengelak ditipu ialah menghubungi pihak yang terlibat atau menghubungi pihak bank untuk memeriksa pemilik akaun yang akan dimasukkan wang. 

Utusan 29 Disember 2015 

0 comments:

Post a Comment