December 29, 2015

‘Setin susu hanya tahan tiga hari’


Seng Lam (berdiri, tengah) menyampaikan sumbangan kepada Rusydi di Felda Lurah Bilut.

BENTONG - Nasib seorang remaja di Felda Lurah Bilut yang kini terlantar akibat kemalangan di Lebuhraya Karak Oktober lalu ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Ahmad Rusydi Rabbani Abd Maulod, 19, bukan sahaja terlantar, malah turut tidak dapat berkomunikasi seperti biasa berikutan kemalangan yang menjejaskan otaknya.

Ibunya, Maimun Veerankutty, 52, berkata, kejadian menimpa anak ketiga dari lima beradik itu berlaku ketika Rusydi dalam perjalanan menjemput kakaknya yang belajar di Petaling Jaya.

“Anak saya kini terpaksa guna lampin pakai buang. Dia juga hanya boleh minum susu tepung khas yang dibeli di farmasi.

“Sejak kejadian itu, dia tak dapat lagi bekerja. Sebelum ini dialah yang banyak bantu keluarga terutama sekali empat lagi anak termasuk seorang OKU (orang kurang upaya) yang masih lagi belajar dan bersekolah,” katanya.

Menurut Maimun, suaminya, Abd Maulod Hussin, 58, bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dengan pendapatan yang tidak cukup menampung kehidupan mereka sekeluarga termasuk perbelanjaan harian Rusydi.

“Sejak anak saya kemalangan, kos sara hidup kami meningkat tambahan pula anak saya cuma boleh minum susu tepung khas yang dijual pada harga RM71.50 satu tin.

“Satu tin susu hanya bertahan untuk tiga hari dan ini tidak termasuk kos lampin pakai buang dan kos perubatan lain,” katanya.

Sementara itu, nasib Rusydi mendapat perhatian Ahli Parlimen Bentong melalui Ketua MCA Cawangan Lurah Bilut, Yip Seng Lam yang hadir menyampaikan sumbangan berupa lampin pakai buang dan susu tepung khas.

Penyerahan sumbangan terbabit turut disaksikan Pengurus Felda, Roslan Daud, Ketua Umno Cawangan Lurah Bilut, Abdul Halim Latif serta barisan pimpinan penduduk setempat.

Seng Lam berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu meringankan beban Maimun sekeluarga kerana difahamkan sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang bentuk bantuan dari agensi terlibat.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan atau membantu keluarga ini boleh menghubungi Maimun menerusi talian 013-9730987.

Sinar Harian 26 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment