December 30, 2015

Rebah dalam mesyuarat

MISRAN dibantu rakan yang lain selepas rebah ketika mesyuarat. Atas, gambar keluarga mangsa.

Pontian: “Sebelum ke sekolah, dia memberitahu hasrat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan umrah bersama keluarga bila-bila masa tapi kini ia tidak menjadi kenyataan,” kata Haslina Abu Bakar, 51, isteri Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Seri Setia, Misran Surat, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermesyuarat di sekolah berkenaan kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Misran sedang memberikan ucapan dalam mesyuarat bagi membentang tugasan guru bagi tahun 2016 sebelum sesak nafas dan rebah.

“Saya diberitahu arwah rebah ketika menyertai mesyuarat yang diadakan di dewan sekolah dan beberapa rakan setugasnya cuba memberikan bantuan apabila tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Duku di sini, semalam.

Suaminya yang mempunyai masalah jantung sejak dua tahun lalu dibawa ke Pusat Kesihatan Benut dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan bertugas.

Menurutnya, bapa kepada empat anak berumur sembilan hingga 28 tahun itu menunaikan haji bersamanya beberapa tahun lalu namun kebelakangan ini sering menyatakan hasrat mahu kembali ke tanah suci sekali lagi.

“Mungkin dia terlalu rindu untuk mengunjungi Tanah Suci sekali lagi menyebabkan dia sering bercerita untuk kembali ke sana apabila tiba masa yang sesuai,” katanya yang turut mempunyai seorang cucu.

Sementara itu, anak sulungnya, Hanizan, 28, berkata bapanya adalah ketua keluarga bertanggungjawab mendidik anak dan sentiasa berpesan supaya mereka menjadi anak yang baik di samping menitikberatkan agama.

“Kami reda dengan pemergiannya dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk guru dan kakitangan sekolah ketika arwah rebah,” katanya.

myMetro 30 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment