December 25, 2015

Perahu karam: satu mayat ditemui, tiga masih hilang


DITEMUI: Mayat Sahirza berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat yang dibantu oleh penduduk kampung pagi semalam.

SIBU: Satu mayat mangsa perahu panjang karam berjaya ditemui 100 meter dari lokasi kejadian manakala tiga lagi masih hilang dalam tragedi berlaku di Long Buyun, Belaga.

Mangsa yang ditemui dikenal pasti sebagai Sahirza Mahir, 32 dan berasal dari Spitang, Sabah ditemui jam 11 pagi semalam.

Sehingga berita ini ditulis usaha mencari mangsa lain iaitu Sumitasen Thomas,15, Adrina Rosnah,12 dan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dikenali sebagai Nur Amirsha sedang giat dilakukan.

Dalam kejadian itu, perahu panjang yang dinaiki mangsa bersama lima lagi penumpang telah karam setelah merempuh ombak besar pada jam 7 malam kelmarin.

Mangsa yang terselamat terdiri daripada Liam Kelilit, 50, Bungan Nyaleng,50, Agnes Liam, 33, Olivia Ploma Thomas dan Ayu, 4.

Abang ipar Agnes Liam, Ajang Udip,39, semasa dihubungi Utusan Borneo berkata semasa kejadian mereka sedang menghala ke Rumah Tajong, Long Pawah.

Namun ketika tiba di tempat kejadian, perahu yang dinaiki mereka melanggar ombak besar dan terbalik.

Ajang turut memberitahu lokasi insiden malang tersebut terletak tidak jauh dari lokasi bot ekspres yang karam pada 2013.

“Kesemua penumpang perahu panjang terbabit merupakan satu keluarga dan pulang bercuti sempena sambutan Hari Krismas,” katanya.

Menurut Ajang, Sahirza merupakan rakan kepada Agnes dan datang ke Belaga bersama anak perempuannya Nur Amirsha.

Sementara Liam dan Bungan adalah pasangan suami isteri dan ibu bapa kepada Agnes manakala Sumitasen, Olivia dan Ayu merupakan anak saudara kepada Agnes.

Usaha menghubungi pasukan gerakan mencari dan menyelamat bagi mendapatkan perkembangan terkini masih belum dapat dilakukan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu selain menghantar anggotanya ke lokasi kejadian turut menggerakkan unit udara.

Turut membantu ialah pihak polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pasukan Marin.

Utusan Borneo 24 Dis 2015


Mayat kedua dan ketiga mangsa perahu karam ditemui

Anggota bomba mengangkat mayat Nur Amirsha untuk dihantar ke Klinik Belaga. FOTO ihsan bomba

MEMILUKAN: Dua anggota bomba kelihatan mengangkat mayat Nur Amirsha iaitu mayat ketiga yang ditemui pada jam 5.10 petang semalam.

SIBU: Pasukan mencari dan menyelamat semalam berjaya menemui mayat mangsa ketiga perahu panjang karam di Sungai Batang Rajang.

Mayat Nur Amirsha, 4, ditemui terapung pada jam 5.10 petang semalam, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian berkenaan.

Sebelum itu, pada jam 2 petang pasukan yang sama menemui mayat mangsa kedua yang dikenal pasti sebagai Adriana Rosnah, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Telawan.

Pengesahan mayat mangsa telah dilakukan ibunya, Rosnah Liam dari Rumah Tanjong, Long Pawah, Belaga.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa operasi diketuai Inspektor Mohd Sohffian dengan kekuatan 40 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (17 anggota), Jabatan Pertahanan Awam  (lapan anggota), Sarawak Hidro (10 anggota) dan pejabat daerah (seorang).

Operasi tersebut turut dibantu dua helikopter dan enam bot pelbagai agensi dalam gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

Sehingga berita ini ditulis, tiga mayat mangsa berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat manakala satu lagi mayat mangsa masih belum ditemui.

Mayat mangsa pertama dikenali sebagai Sahirza Mahir, 32, berjaya ditemui sekitar jam 10 pagi kelmarin kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Dalam tragedi berlaku pada jam 7 malam (22 Disember), sebuah perahu panjang yang dinaiki sembilan penumpang karam di Sungai Batang Rejang berhampiran Long Buyun, Belaga.

Insiden itu telah menyebabkan empat mangsa iaitu Sumitasen Thomas, 15, Adriana Rosnah, 12, Sahirza Mahir,32 dan Nur Amirsha, 4, hilang.

Manakala lima orang mangsa iaitu Liam Kelilit, 50, Bungan Nyaleng, 50, Agnes Liam, 33, Olivia Ploma Thomas, 8, dan Ayu, 4, selamat.

Operasi mencari dan menyelamat dihentikan sementara pada jam 6 petang semalam dan akan disambung semula pada hari ini (25 Disember).

Utusan Borneo 25 Dis 2015


Jenazah Shahirza, anak tiba di KKIA

Kota Kinabalu: Jenazah mangsa bot karam di Sungai Rajang, Long Buyun, Belaga , Sarawak, 22 Februari lalu, Sahirza Mahir, 31, dan anaknya Nur Amirsha, 4, selamat tiba di Terminal I Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA I), di sini, sebentar tadi.

Kedua-dua jenazah selamat tiba di sini, kira-kira jam 8.05 malam tadi dan disambut ahli keluarga mereka termasuk ibu Sahirza, Sarbanon Mohamad, 51.

Sarbanon ketika ditemui berkata, jenazah anak dan cucunya diterbangkan dari Sibu tengah hari tadi dan dihantar ke Kuala Lumpur sebelum diterbangkan ke Kota Kinabalu.

"Kami dimaklumkan jenazah akan tiba di sini, dua hari lalu.

"Selepas ini, jenazah dibawa pulang ke Mesapol, Sipitang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi esok pagi," katanya di sini, hari ini.

myMetro 30 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment