December 30, 2015

Pemandu teksi parah nahas enam kenderaan


KEADAAN teksi mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan. FOTO Mohd Nazrulaswad Hamdan

Ipoh: Pemandu teksi parah dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, pemandu teksi berusia 33 tahun berkenaan cedera di dada dan pinggang.

Kemalangan berkenaan membabitkan sebuah teksi, Mercedez Benz, Proton Gen 2, Toyota Vios, Honda Accord dan motosikal jenis SYM Sport Bonus SR.

Pemandu Mercedes Benz berusia 49 tahun turut cedera ringan di dada dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati pemandu Mercedez yang dalam perjalanan dari Simpang Empat menuju ke Medan Gopeng dipercayai hilang kawalan dan merempuh teksi serta Proton Gen 2 di bahagian hadapan ketika lampu isyarat menunjukkan warna hijau.

"Susulan rempuhan itu, pemandu kereta mewah terbabit melanggar tiang lampu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) manakala pemandu teksi berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh dua kereta jenis Honda Accord dan Toyota Vios serta sebuah motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat terbabit.

"Pemandu teksi dan kereta mewah berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)Ipohuntuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, empat lagi pemandu lain serta seorang penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 29 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment