December 28, 2015

Mabuk, gaduh, pukul orang


Petaling Jaya: Seorang lelaki cedera selepas diserang sekumpulan lelaki mabuk di ruang letak kereta Blok 10 Flat Desa Mentari, di sini, dalam kejadian 11.35 malam, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd Zani Che Din, berkata kejadian berlaku selepas dua lelaki berusia lingkungan 20-an yang sedang minum arak di kawasan terbabit bergaduh sesama sendiri.

Katanya, tiga rakan mereka yang berada di kawasan berkenaan turut mencampuri pergaduhan itu.

"Ketika pergaduhan itu berlaku, seorang lelaki berumur 20-an yang memandu Toyota Vios berhenti di kawasan letak kereta itu untuk menghantar teman wanita pulang daripada kerja.

"Seorang daripada suspek terbabit menyangka lelaki berkenaan anggota polis dan bertindak memaki hamun serta menyerang mangsa menggunakan senjata tajam.

"Mangsa kemudian mengambil pengunci stering bagi mempertahankan diri dan menyebabkan suspek melarikan diri. Mangsa cedera di kepala, bahu dan lengan akibat tetakan di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan," katanya.

Mohd Zani berkata, bertindak atas maklumat itu polis menahan suspek berusia 21 tahun yang menetap di tingkat 17 flat berkenaan, kira-kira 1 pagi Sabtu.

Katanya, polis sudah mengenal pasti rakan suspek dan sedang berusaha memburu mereka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.

myMetro 27 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment