December 29, 2015

Lelaki maut disambar petir

TEMOH - Seorang lelaki maut disambar petir ketika menjala ikan di lombong berhampiran Kampung Batu Masjid, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Mohd Sofian Mat Asim, 38, menjala ikan bersama tiga rakannya.

Menurutnya, mangsa yang merupakan pekerja kilang dan berasal dari kampung berkenaan disambar petir secara tiba-tiba ketika berada di kawasan lombong itu.

“Rakannya telah membawa Mohd Sofian ke Hospital Tapah namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat sebelum jenazah diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Sinar Harian 26 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment