December 25, 2015

Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh sungai

Teluk Intan: Lelaki, 51, dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot dinaikinya di Sungai Bidor, Batu 6, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa Zainal Abu Yamin dipercayai menaiki bot dipandunya sendiri dalam perjalanan pulang memancing ke Jeti Datarn Sungai Udang di sini, bersama rakannya yang menaiki bot berasingan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 8.27 malam sebelum pasukannya bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, lapan anggota dan sebuah bot diturunkan bagi memulakan operasi pencarian seluas 2.5 kilometer (km) di kawasan sungai berkenaan.

Menurutnya, rakannya memaklumkan yang dia tidak melihat kelibat mangsa selepas 10 minit bergerak pulang dari lokasi memancing.

"Rakannya yang menaiki bot di hadapan bot mangsa menoleh ke belakang untuk melihat keadaan mangsa namun mendapati bot mangsa tidak kelihatan sebelum berpatah balik untuk mencari mangsa.

"Sebaik menemui bot mangsa, rakan mangsa mendapati mangsa sudah terjatuh ke dalam sungai dan cuba memberi bantuan namun gagal selepas mangsa hanya timbul sekali sebelum terus hilang," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihaknya terpaksa berhati- hati dalam operasi mencari dan menyemat berikutan lokasi kejadian dikenal pasti kawasan berbahaya kerana dipercayai terdapat buaya.

myMetro 25 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment