December 30, 2015

Laut di Kuantan bertukar merah

KEADAAN air Sungai Balok, Kuantan yang mengalir menuju ke Laut China Selatan bertukar merah pekat setelah hujan lebat sejak dua hari lalu.

KUANTAN – Penduduk di sekitar Balok dan Pelabuhan Kuantan di sini gempar apabila melihat air Sungai Balok dan air laut di pesisiran pantai bertukar menjadi merah dalam tempoh semalam, dipercayai akibat dicemari bahan bauksit.

Tinjauan Kosmo! di kawasan Pantai Batu Hitam dan Pantai Balok di sini mendapati warna air laut telah bertukar menjadi seakan-akan air lumpur sehingga mengakibatkan kawasan tumpuan pelancong itu tidak lagi sesuai untuk sebarang aktiviti air.

Ketua nelayan Kampung Balok, Raja Haris Raja Salim, 63, berkata, kejadian air laut bertukar warna kepada kemerah-merahan bukan perkara asing di kawasan tersebut namun ini kali pertama keadaannya sangat keruh.

“Saya percaya ini disebabkan pencemaran bauksit. Hujan lebat semalam (kelmarin) mungkin menyebabkan timbunan atau takungan bauksit di sekitar kawasan tersebut mengalir ke laut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kosmo 30 Dis 2015


Laut terluka

Kuantan: Penduduk dan pengunjung di sekitar Pantai Balok, dekat sini, dikejutkan dengan perubahan air laut berwarna kemerah-merahan di pantai berkenaan, semalam.

Situasi itu disedari oleh orang ramai selepas hujan berterusan yang melanda daerah ini sejak petang Ahad lalu.

Malah, kebanyakan pengunjung yang singgah ke pantai itu hairan dengan situasi terbabit sehingga ada yang mengaitkannya dengan kesan perlombongan bauksit di daerah ini.

Sehingga petang semalam, imej fenomena yang disifatkan sebagai ‘laut merah’ oleh penduduk tempatan itu disebarkan secara meluas di media sosial sehingga menjadi viral.

Penduduk, Zulkifli Samad, 23, berkata, dia hairan dengan perubahan air laut berkenaan yang tidak pernah berlaku di pantai berkenaan sebelum ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ada kalangan pengunjung yang singgah di pantai itu membatalkan hasrat mereka untuk mengadakan aktiviti riadah.

“Saya lihat air itu keruh dan berwarna kemerah-merahan. Ramai yang kata ini disebabkan oleh debu pencemaran bauksit, tetapi kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya,” katanya.

Menurutnya, memandangkan situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini, peniaga di kawasan itu menasihatkan supaya pengunjung tidak bermain air.

“Saya harap pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar dapat menyiasat punca kejadian ini.

“Ini kerana ia boleh memberi imej negatif kepada pantai terbabit yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati situasi sama turut dikesan di kawasan persisiran pantai di sepanjang Jalan Beserah-Kuantan menghala ke Pelabuhan Kuantan, dekat sini.

Kesan debu merah turut dilihat pada batu di kawasan pantai terutama selepas air pasang.

Pada Mei lalu, penduduk di daerah ini dikejutkan dengan fenomena ‘laut merah’ yang dapat dilihat sepanjang persisiran pantai di Tanjung Gelang berhampiran Pelabuhan Kuantan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menjelaskan bahawa fenomena itu tidak berbahaya kepada hidupan marin di perairan berkenaan berdasarkan keputusan ujian terhadap sampel air di kawasan itu.

Ia dikatakan berpunca daripada kesan pencemaran debu bauksit yang memasuki Sungai Pengorak sebelum mengalir ke laut.

myMetro 30 Disember 2015


Bauksit bertimbun di pelabuhan

Inilah pusat penyimpanan bauksit yang terletak berhampiran laut di Pelabuhan Kuantan, Kuantan ketika tinjauan dilakukan kelmarin.

KUANTAN – Dakwaan segelintir penduduk setempat yang mengatakan fenomena laut merah di kawasan Pelabuhan Kuantan dan Balok sehingga ke pesisiran Pantai Batu Hitam di sini baru-baru ini dipercayai berpunca daripada pencemaran bauksit mungkin ada kebenaran.

Tinjauan wartawan di kawasan Pelabuhan Kuantan kelmarin mendapati, banyak timbunan bauksit di tempat penyimpanan bahan mineral tersebut yang terletak bersebelahan dengan laut dan jika hujan lebat, tidak mustahil sisa bauksit akan mengalir ke laut.

Bagaimanapun, keadaan cuaca yang cerah di daerah ini sejak beberapa hari lalu dipercayai menjadikan warna air laut yang kemerah-merahan di kawasan tersebut kembali kepada normal.

Kosmo 3 Jan 2016


0 comments:

Post a Comment