December 28, 2015

Jasad terakhir ditemui di bawah jambatan


ALI Abdul Rahman, 28, (tengah) ditenteramkan selepas mayat ibunya, Lana Ismail, 55, telah ditemui dalam kejadian lemas di Sungai Bekok, Masjid Pekan Yong Peng, Jalan Yong Peng-Chaah, Batu Pahat. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Batu Pahat: Selepas hampir 19 jam, mayat mangsa lemas di Sungai Bekok, Yong Peng, yang terakhir iaitu Lana Ismail, 55, ditemui pada 8.10 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Bakaryia Mohd Salleh berkata, mayat Lana ditemui terdampar di bawah jambatan berhampiran iaitu kira-kira 150 meter daripada lokasi kejadian.

"Mayat kini diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Terdahulu, mayat dua beradik iaitu Muhammad Iman Naqiudin Nas Izhar, 2, dan Muhammad Ikhwan Nasaruddin, 10 bulan ditemui lemas pada jam 2.30 petang manakala enam lagi ahli keluarga selamat.

Mayat ketiga iaitu Mohd Aiman Arif Hairaddin, 10, pula ditemui jam 8.40 malam tadi kira-kira dua meter daripada lokasi kejadian.

Difahamkan semua mayat dibawa ke Unit Forensik Sultanah Nora Ismail untuk bedah siasat sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kangkar Bharu, Yong Peng, Zohor ini.

myMetro 27 Disember 2015


Lana ditemui bawah jambatan

Anggota bomba dan polis mengangkat mayat Lana yang ditemui di bawah Jambatan Yong Peng, Batu Pahat semalam.

BATU PAHAT – Mangsa terakhir tragedi rakit tenggelam di Sungai Bekok, Yong Peng di sini iaitu Lana Ismail, 55, ditemui lemas di bawah Jambatan Yong Peng oleh pasukan bomba dan penyelamat serta orang awam pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba, Bakarya Mohd. Salleh berkata, mayat mangsa dijumpai terdampar di bawah jambatan tersebut kira-kira 150 meter dari tempat kejadian pada pukul 8.15 pagi.

“Lana merupakan mangsa terakhir dalam tragedi ini yang ditemui,” katanya kepada pemberita semalam.

Turut berada di tempat penemuan mayat tersebut ialah anak Lana, Ali Abdul Raman Hairaddin, 28, yang terselamat dalam kejadian pada pukul 3 petang itu.

Kosmo 28 Dis 2015


Disemadi satu liang lahad

SEMUA jenazah mangsa lemas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kangkar Bahru, Yong Peng. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim

BatuPahat: Keempat-empat jenazah mangsa lemas di Sungai Bekok, Yong Peng, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam di Kangkar Bahru, Yong Peng, jam 3.20 tadi.

Jenazah dikebumikan selepas disembahyangkan di Masjid Kangkar Bahru, di sini,sebelum dibawa ke tanah perkuburan berhampiran.

Kira-kira 100 penduduk kampung termasuk ahli keluarga serta saudara mara menghadiri upacara pengebumian itu.

Suasana pilu kemudian menyelubungi tanah perkuburan sebaik keempat-empat keranda dibawa keluar dari van jenazah disediakan.

Kesemua mangsa yang lemas adalah seorang wanita, Lana Ismail, 55, anak lelakinya, Mohd Aiman Arif Hairaddin, 10, serta dua cucunya, Muhammad Iman Naqiudin Nas Izhar, 2, dan Muhammad Ikhwan Nasaruddin Nas Izhar, 10 bulan.

Muhammad Iman Naqiudin dan Muhammad Ikhwan Nasaruddin ditemui lemas sejurus kejadian manakala mayat Mohd Aiman Arif ditemui pasukan bomba kira-kira dua meter dari lokasi kejadian, pada 8.40 malam semalam.

Mayat terakhir iaitu Lana ditemui terdampar di tebing di bawah jambatan sungai itu, 8.10 pagi tadi.

myMetro 27 Disember 2015


Tragedi rakit

Anggota bomba bertungkus lumus mencari mangsa yang masih hilang. FOTO ihsan pembaca

Johor Bahru: Bayi lelaki berusia 10 bulan dan budak lelaki 2 tahun ditemui lemas, manakala budak lelaki berusia 10 tahun dan ibunya, 50-an dikhuatiri lemas di Sungai Bekok, Masjid Jamek Pekan Yong Peng di Jalan Yong Peng Chaah dekat Batu Pahat, petang tadi.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, enam lagi ahli keluarga mereka berjaya diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, bayi lelaki berusia 10 bulan itu dikenal pasti sebagai Muhammad Ikwan Nasurudin, manakala yang berusia 3 tahun, Muhammad Iman Naqimudin.

Katanya, dua lagi dikhuatiri lemas dan operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.

"Hasil maklumat awal mendapati mangsa adalah satu keluarga berasal dari Kangkar Bahru, Yong Peng dan datang ke kawasan Sungai Bekok untuk menghadiri kenduri kahwin.

"Mereka kemudian menaiki rakit yang berada di tepi sungai yang digunakan penduduk kampung untuk menyeberang sungai, sebelum rakit itu dilaporkan terbalik," katanya.

Komander Operasi Ibnul Kasim Ahmad dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng pula berkata, pihaknya bersama tiga anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 2.54 petang.

Katanya, Setibanya di lokasi kira-kira 20 minit kemudian, bomba mendapat maklumat bahawa ada mangsa dikhuatiri lemas di sungai terbabit.

“Operasi mencari dan menyelamat mula dijalankan menggunakan satu bot sejurus tiba di lokasi,” katanya.

myMetro 26 Disember 2015


Tragedi rakit tenggelam

JOHOR BAHRU - Malang buat 10 sekeluarga apabila rakit dinaiki tenggelam ketika menyeberang Sungai Bekok, Jalan Yong Peng Chaah, Batu Pahat, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Akibat insiden itu, seorang bayi lelaki 10 bulan dan kanak-kanak lelaki dua tahun ditemui lemas, manakala wanita berumur 55 tahun dan kanak-kanak lelaki sepuluh tahun masih hilang dan dikhuatiri lemas.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Ibnul Kasim Ahmad berkata, tiga anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.54 petang.

Menurutnya, maklumat awal dapati mangsa adalah satu keluarga dari Kangkar Bharu, Yong Peng dan datang ke Taman JPN Yong Peng untuk menghadiri majlis perkahwinan.

Selesai majlis perkahwinan mereka ingin melihat ternakan kambing di seberang Sungai Bekok yang jaraknya kira-kira 50 meter dengan menaiki rakit.

“Rakit yang dinaiki dikatakan tenggelam ketika berada di tengah sungai kerana ditolak arus selain tidak mampu menampung muatan berlebihan.

“Enam ahli keluarga berumur antara dua tahun hingga 58 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala dua lagi ditemui mati lemas dan dua lagi juga dikhuatiri lemas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Ibnul Kasim berkata, operasi menyelamat dan mencari dua lagi mangsa yang hilang masih diteruskan sehingga jam 6 petang semalam.

“Seorang bayi dan kanak-kanak cuba diselamatkan ahli keluarga yang lain, namun sebaik dibawa ke tebing sungai mereka sudah meninggal dunia," katanya.

Sinar Harian 27 Dis 2015


Usaha cari sampai jumpa

Mangsa terselamat, Ali Abdul Rahman Hairaddin (tengah) sebak setelah melihat mayat adiknya, Mohd Aiman yang ditemui 8.40 malam tadi. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Batu Pahat: Sehingga 12 tengah malam tadi, seorang lagi mangsa tragedi rakit tenggelam di Sungai Bekok, berhampiran Masjid Jamek Pekan Yong Peng di sini, petang tadi masih belum ditemui.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Lana Ismail, 55, akan diteruskan sehingga dia ditemui.

Komander Operasi Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Mohd Aizad Mamat berkata, SAR tidak akan ditamatkan dan akan terus berusaha mengesan mangsa terakhir itu.

“Kita harap mangsa dapat ditemui dalam masa terdekat berikutan air sungai yang surut sehingga dua meter berbanding lima meter petang tadi,” katanya.

Terdahulu, mayat anak bongsu Lana, Mohd Aiman Arif Hairaddin, 10, ditemui jam 8.40 malam tadi, kira-kira dua meter dari tempat rakit tenggelam.

Petang tadi, dua beradik, Muhammad Iman Naqiudin Nas Izhar, 2, dan Muhammad Ikhwan Nasaruddin Nas Izhar, 10 bulan ditemui lemas dalam kejadian 2.30 petang itu.

Enam ahli keluarga mereka terselamat dalam kejadian berkenaan.

myMetro 27 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment