December 25, 2015

Cubaan suspek guna ‘sang kancil’ larikan mesin ATM gagal


ZAKARIA ABD. RAHMAN menunjukkan hadapan kereta Perodua Kancil yang rosak dalam cubaan dua suspek menarik sebuah mesin ATM di Pejabat Pos Benut, Pontian, Johor, semalam.

PONTIAN 24 Dis. – Walaupun hanya berkenalan menerusi aplikasi WeChat kira-kira sebulan lalu, namun dua penjenayah bersepakat untuk melarikan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) milik sebuah bank di Pejabat Pos Benut dekat sini, pagi ini.

Namun rancangan mereka gagal apabila cubaan melarikan mesin ATM mengan­dungi kira-kira RM160,000 itu di­sedari dua anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang kemudian bertindak pantas menahan mereka dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu.

Ketua Polis daerah, Pe­mang­ku Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, salah seorang suspek yang merupakan pemandu Perodua Kancil dipercayai ditugaskan untuk melarikan mesin ATM berkenaan berjaya diberkas ketika melarikan diri ke bahagian belakang bangunan Pejabat Pos.

Menurutnya, rakannya yang melarikan diri ke arah semak berhampiran pula berjaya di­cekup semasa berpura-pura membeli nasi lemak di Kampung Lama, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Suspek kedua ini berjaya ditahan pada pukul 7.15 pagi hasil operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pontian dan Balai Polis Benut,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Pejabat Pos Benut di sini.

Zakaria memberitahu, suspek pertama yang ditahan berusia 21 tahun berasal dari Perak dan bekerja sebagai operator pengeluaran di Singapura, manakala rakannya berumur 19 tahun merupakan penduduk tempatan yang membantu ayahnya di kedai perabot.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka berkenalan melalui aplikasi WeChat sejak sebulan lalu dan bekerjasama menjalankan perniagaan online melibatkan pertukaran mata wang asing (forex),” katanya.

Zakaria memaklumkan, wa­­laupun pejabat pos tersebut tidak menempatkan pengawal keselamatan, namun bangunan itu diawasi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang dikawal dari Kuala Lumpur.

“Kita telah dimaklumkan oleh pihak berkenaan apabila post alarm telah berbunyi di Pejabat Pos Benut. Terdapat kesan pecah masuk di bahagian pagar bagi membolehkan kereta Perodua Kancil warna putih milik suspek pertama melaluinya memandangkan pejabat berkenaan ditutup pada pukul 7 malam,” jelas­nya.

Tambah Zakaria, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 380 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dan pihaknya akan cuba mendapatkan perintah tahan reman selama seminggu ke atas kedua-dua suspek bagi membantu siasatan kes ber­kenaan.

Utusan 25 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment