December 31, 2015

Broker saham ditahan menipu

SEREMBAN 29 Dis. –Seorang lelaki dipercayai broker saham berusia 45 tahun bersama dua pembantunya ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan berjumlah RM645,229 hujung tahun lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan itu dibuat setelah polis menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan berusia 42 tahun yang mendakwa ditipu suspek pada 2014.

Beliau berkata, pada Disember 2014, mangsa telah didatangi suspek yang mengaku sebagai ejen mendakwa boleh membuat pelaburan di Bursa Kuala Lumpur dan mendakwa dirinya seorang broker saham yang hebat.

“Mangsa kemudian membuat bayaran secara berperingkat-peringkat melalui transaksi bank dan bayaran secara tunai dengan jumlah yang telah dilaburkan sebanyak RM645,229.

“Selepas hampir setahun, mangsa tidak memperoleh sebarang pulangan dan suspek memberikan pelbagai alasan setiap kali ditanya hingga mendorong mangsa membuat aduan polis,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Seremban 2 di sini hari ini.

Jelasnya, sepasukan anggota polis telah menahan suspek dan dua pembantunya masing-masing lelaki dan perempuan berusia 41 tahun dan 25 tahun dalam serbuan di sebuah pejabat dan rumah di sini.

Muhamad Zaki berkata, polis turut merampas wang tunai bernilai RM363,370 serta pelbagai dokumen termasuk tiga kenderaan di dua lokasi tersebut.

“Tangkapan pertama melibatkan dua suspek iaitu lelaki dan perempuan di sebuah pejabat pada pukul 4.30 petang semalam manakala seorang lagi suspek ditahan di sebuah rumah kira-kira 11 jam selepas itu.

“Saya percaya lebih ramai mangsa penipuan kes ini akan tampil membuat laporan polis. Saya menyeru agar masyarakat lebih berwaspada dengan pelaburan seperti ini,” katanya.

Semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, katanya, polis turut meminta seorang lelaki, Md. Shah Shairie Abdul Rahman, 32, untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan kes terbabit.

Utusan 30 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment