March 8, 2014

Kanak-kanak dilahirkan tanpa dubur dan saluran kencing perlukan bantuan

KUCHING: Rahmat Mohd Mostapha, 9, dilihat seperti seorang kanak-kanak normal namun disebalik keceriaan dan kecergasannya itu, dia yang gemar bermain bolasepak dilahirkan tanpa dubur dan saluran kencing.

Bapanya, Mohd Mostapha Alwi, 38, berkata keadaan anaknya itu bermakna dia terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan untuk menebuk satu saluran di bahagian perutnya bagi membolehkan najis keluar melalui saluran paip kecil itu.

“Saya merasa bersyukur pembedahan itu membolehkan dia membuang air besar walaupun dia terpaksa memakai beg di perutnya. Dia juga memakai lampin pakai buang kerana kegagalan mengawal pundi kencingnya,” kata Mohd Mostapha kepada wartawan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rampangi Fasa 1, Jalan Sultan Tengah di sini semalam.

Dia menambah yang Rahmat perlu dipantau sepanjang masa kerana dia sensitif dengan keadaan persekitarannya dan mudah mendapat jangkitan.

Ibunya pula, Musliha Nawawi, 35, berkata Rahmat, anak keempat, telah menjalani beberapa pembedahan sejak dilahirkan.

Dia berkata setiap 6 bulan, Rahmat perlu menemui 3 doktor pakar di Hospital Umum Sarawak untuk memeriksa pundi kencing, buah pinggang dan pelvisnya.

“Doktor memberitahu yang dia perlu menjalani beberapa lagi pembedahan akan datang,” katanya.

Mohd Mostapha yang hanya menjual ikan mengakui yang pendapatannya tidak mencukupi untuk menanggung kos rawatan dan keperluan anaknya.

“Setiap bulan saya belanjakan RM600 untuk membeli beg najis yang hanya dijual di hospital, lampin pakai buang dan kos perubatannya. Sekotak lampin pakai buang yang hanya mengandungi 10 helai sahaja berharga RM120 dan hanya mampu bertahan selama seminggu. Dia perlukan kira-kira 50-60 helai lampin pakai buang setiap bulan bergantung kepada pemakanan dan aktiviti hariannya,” jelas Mohd Mostapha.

Dia berkata walaupun mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Tabung Baitulmal Sarawak namun ia tidak mencukupi.

“Kami bukan saja perlu menanggung kos keperluan dan rawatannya, malah terpaksa menyewa sebuah rumah yang berdekatan dengan sekolahnya supaya ibunya boleh membawa dia pulang ke rumah untuk menggantikan beg najis jika ia penuh.

Oleh itu, pasangan berkenaan merayu bantuan dari orang ramai untuk mengurangkan bebanan kewangan mereka.

Semalam, isteri kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datin Feona, melawat keluarga berkenaan dan menyerahkan sumbangan peribadi.

Beliau berkata beliau akan membantu keluarga berkenaan untuk meringankan beban mereka.

Wakil Tabung Baitulmal yang hadir juga menyumbangkan barang-barang keperluan harian seperti susu, beras, gula dan kopi kepada keluarga berkenaan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kewangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Mostapha di 1-61011-0003145-6, RHB Islamic Bank atau menghubunginya di talian 016-8722127.

Sumber The Borneo Post 6 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment