December 28, 2013

Temui ajal dalam lombong

PERAK – Niat seorang lelaki untuk mencari rezeki dengan memukat ikan berakhir dengan tragedi apabila dia mati lemas di sebuah lombong di kawasan perindustrian Kamunting Raya kira-kira jam 6.29 petang semalam.

Isteri mangsa, Radiah Manap, 62, berkata, dia dan suaminya, Md Saad Hassan, 59, yang berasal dari Taman Jebung Aman,  pergi bersama ke lombong berkenaan untuk mengangkat pukat yang dipasangnya lelaki itu.

Menurutnya, aktiviti itu merupakan punca rezeki mereka sekeluarga sejak dua tahun lalu.

“Apabila sampai di lombong berkenaan, hanya suami sahaja yang pergi ke lombong tetapi tidak lama selepas itu, saya berasa tidak sedap hati dan bimbangkan suami.

“Ketika pergi melihat suami, saya terkejut melihat dia tenggelam dalam lombong itu malah air yang keluar dari longkang besar juga sangat deras dan laju,” katanya.

Radiah berkata, dia cuba untuk menyelamatkan suaminya dengan turun ke lombong berkenaan, namun dia tidak berupaya kerana air sangat deras.

Katanya, dia cuba meminta pertolongan seorang individu lain yang sedang memancing berhampiran namun jeritannya tidak didengari.

“Selepas itu, apabila saya kembali semula ke tempat kejadian, suami sudah tidak kelihatan lagi. Orang ramai kemudiannya terus menelefon polis dan bomba,” katanya.

Wanita itu berkata, ketika itu dia terus menunggu di tepi lombong dan berdoa agar suaminya itu ditemui dengan selamat.

“Arwah suami memukat ikan di lombong itu sejak dua tahun lalu tetapi sebelum ini jika hujan lebat, arwah tidak akan masuk ke kolam itu, tapi semalam (kelmarin) dia masuk juga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, operasi mencari dan penyelamat mangsa dimulakan sejak jam 6.35 petang kelmarin hingga 5 pagi semalam.

“Pasukan bomba dan penyelamat tiba dengan sebuah jentera dan sebuah bot penyelamat.

“Dalam kejadian terbabit, mangsa tiba-tiba dibawa arus deras dari longkang berhampiran. Mangsa tidak dapat berenang ke tebing lombong kerana arus deras,” katanya.

Mohd Taufiq berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 4.10 petang di lokasi dia dilaporkan hilang oleh pasukan penyelamat.

Beliau berkata, operasi menyelamat disertai 25 anggota dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Sinar Harian 28 Dis 2013

0 comments:

Post a Comment