September 3, 2013

Tragedi potong di selekoh

KENDERAAN MPV yang terbalik dalam kejadian kemalangan di Kampung Weston, Bukit Pantai, Beaufort.


Beaufort: Gara-gara memintas sebuah kenderaan lain di garisan berkembar, seorang maut manakala lima parah termasuk seorang guru dan kanak-kanak berusia lima tahun dalam kemalangan di Kampung Weston, Bukit Pantai, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa Noraini Abdul Main, 17, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Weston.

Manakala, lima lagi yang parah dikenali Siti Fazilah Mohd Yusop, 33, (pemandu), Nursuhaida Zaidi, 15, Aida Nairun, 15, dan Hamidah Nairun serta seorang kanak-kanak Mohd Fahmi Shahmi, 5, terpaksa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) selepas mengalami kecederaan parah di anggota badan.

Tujuh yang lain, Mohd Rafizi, 14, Aida Norianti Ibrahim, 17, Mohd Zaidi Basir, 15, Mohd Nurshanizam, 13, Marshera Jude, 13, Marlisa Jude, 17, dan Mohd Nasriq, 15, hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Beaufort sebagai pesakit luar.

Difahamkan, semua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston dan pemandu yang juga seorang guru di salah sebuah sekolah rendah di kawasan terbabit dipercayai menghantar semua pelajar berkenaan ke sekolah mereka.

myMetro 3 Sep 2013


Pelajar maut, 10 cedera kenderaan terbalik

BEAUFORT: Seorang pelajar perempuan maut, manakala 10 lagi cedera, termasuk seorang guru perempuan sebuah prasekolah yang memandu kenderaan malang itu cedera, dalam kejadian di Kilometer 1 Jalan Weston-Beaufort, pagi kelmarin.

Semua pelajar berkenaan belajar di Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Weston, manakala guru prasekolah itu mengajar di SK Lingkungan, Beaufort.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nurhaini Binte Main, 17, pelajar tingkatan lima SMK Weston, yang disahkan meninggal dunia setibanya di Klinik Kesihatan Weston, manakala 10 yang cedera diberi rawatan di hospital.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 pagi di kawasan dua selekoh, apabila kereta jenis Unser yang membawa 12 pelajar yang dipandu seorang guru perempuan berusia 33 tahun, dikatakan hilang kawalan, lalu terbalik dan terbabas ke bahu jalan.

Kenderaan berkenaan yang dalam perjalanan dari Lumadan ke Weston itu turut ditumpangi anaknya pemandu berkenaan, berusia lima tahun, yang turut cedera dalam kemalangan itu.

Pengetua SMK Weston, Abd Samat Jumat, berkata seramai 11 pelajar SMK Weston terlibat dalam kemalangan berkenaan, iaitu tujuh pelajar perempuan dan empat pelajar lelaki. Seorang daripada pelajar berkenaan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah, DSP Mustaffa Maarof Bin Mustaffa, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

“Pada masa sama, saya menasihatkan pemandu dan pemilik kenderaan agar jangan membawa lebih muatan selain sentiasa berhati-hati ketika memandu,” katanya.

Utusan Borneo 3 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment