September 21, 2013

Mayat remaja perempuan lemas ditemui

Mayat mangsa diangkat anggota polis sebelum dibawa ke hospital untuk urusan bedah siasat. Gambar kecil: Allahyarham Siti Fatimah

KOTA BHARU - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan berhampiran Pengkalan Pasir, di Kampung Sungai Budor, di sini semalam.

Mayat mangsa, Siti Fatimah Zakaria, 17, ditemui oleh orang awam yang tinggal berhampiran lokasi kejadian kira-kira  jam 2 petang, hanya 50 meter dari rumahnya.

Jenazah mangsa di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, untuk urusan bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Ibu mangsa, Kamariah Abdullah, 65, berkata pada malam sebelum kejadian dia memaklumkan kepada Siti Fatimah bahawa guru sekolahnya menghantar surat supaya dia pergi ke sekolah selepas dia tidak hadir beberapa hari ke sekolah kerana sakit.

“Selepas dimaklumkan demikian, dia terus memakai uniform sekolah, namun saya beritahu bahawa sekolah masih cuti hujung minggu sebelum mula sesi persekolahan esok (Ahad), sebelum dia tertidur dengan pakaian sekolah.

“Dia juga sempat memberitahu saya ingin ‘mati dalam iman’ namun saya tidak mengendahkannya kerana dia kini dalam keadaan tidak sihat dan mengalami tekanan. Tidak sangka kata-katanya itu menjadi kenyataan dan dia pergi buat selamanya," kata Kamariah.

Kamariah menyedari, anaknya keluar seawal jam 10 pagi semalam, namun hanya mengetahui anaknya lemas selepas dimaklumkan oleh jiran.

“Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Apa pun saya redha dengan pemergiannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa ditemui terapung oleh penduduk kampung di kawasan sekitar rumahnya.

“Hasil pemeriksaan awal pada tubuh mangsa kita tidak menemui sebarang kesan kecederaan,” katanya.

Menurutnya, mengikut maklumat yang diperoleh daripada keluarga, Siti Fatimah dipercayai mengalami masalah mental.

Sementara itu, seorang saksi kejadian Wan Karzaman Wan Mohammed, 52, berkata, sebelum ternampak mayat mangsa, dia sedang makan tengah hari di salah sebuah kedai yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Saya terkejut apabila mendengar teriakan seorang pekerja asing yang meminta bantuan sebaik sahaja melihat mayat seorang wanita terapung di permukaan sungai.

“Beberapa penduduk di kawasan berdekatan turut memberi bantuan membawa mangsa ke darat, namun sebaik sahaja dibawa ke darat, saya sempat memberikan bantuan awal untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal,” katanya.

Sumber Sinar Harian dan Utusan 22 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment