July 24, 2013

Tiga sekeluarga rentung dalam kebakaran di Kota Tinggi



KEADAAN rumah didiami tiga bersaudara hangus terbakar.

KOTA TINGGI: Tiga bersaudara maut termasuk seorang kanak-kanak manakala dua cedera parah dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah teres setingkat di di Jalan Binjai 4, Taman Kota Jaya, dua jam sebelum waktu berbuka hari ini.

Mereka yang maut dikenali sebagai Ezza Nurfarhainie Othman, 24, seorang OKU, Maliki Hanie Aziz, 3, dan seorang lagi mangsa dipercayai Mahadir Ngapit yang berusia dalam lingkungan 30-an.

Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan separuh rentung berhampiran pintu depan.

Dua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Mangsa yang terselamat dengan kesan cedera melecur pula adalah Nor Ezzadatul Fazlin, 33, dan Norsyafiqa Abu Sari, 18, yang sedang menjalani rawatan di Hospital Kota Tinggi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.10 petang itu, seorang jiran, Noraini Omar, 41, berkata dia sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja apabila dia terdengar jeritan sayu kanak-kanak dan apabila ditinjau dia mendapati rumah mangsa telah terbakar

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana api merebak dengan cepat. Saya hanya mampu menjerit meminta tolong sebelum menelefon bomba sambil menyiram hos getah ke arah rumah mangsa,” katanya.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Suhaimi Abd Jamal ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.04 petang dan sampai di tempat kejadian pada 5.09 petang.

Bagaimanapun apabila dua jentera dengan 12 anggota tiba di tempat kejadian, rumah teres kos rendah setingkat tersebut sudah 90 peratus terbakar, katanya.

Pihak bomba turut menghubungi unit anjing K-9 dari Kuala Lumpur bagi membantu menyiasat punca sebenar kebakaran, katanya.

Sementara itu, ibu saudara seorang daripada mangsa, Fadillah Rajab, 41, berkata, tidak menyangka perubahan sikap anak saudaranya dikenali sebagai Ain (Ezza Nurfarhainie), 24, yang banyak berdiam diri berbanding sebelum ini yang suka menyanyi dalam van ketika dalam perjalanan ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kota Kecil, di sini, menjadi petanda dia akan meninggal dunia.

Sumber NST, myMetro, Utusan dan BERNAMA  24 Jul 2013


Misteri Kebakaran Rumah Ragut Tiga Nyawa Terungkai

KOTA TINGGI: Pihak polis mengenal pasti punca kebakaran sebuah rumah di Taman Kota Jaya di sini Rabu yang turut mengakibatkan tiga kematian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Mohd Nor Rasid berkata kebakaran dipercayai berpunca dari simbahan minyak petrol di rumah itu yang dikatakan dilakukan seorang mangsa yang turut terkorban dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu.

"Kejadian berlaku apabila mangsa yang berumur 30-an itu datang ke rumah tersebut untuk mencari isterinya. Memandangkan isterinya tiada di situ, mangsa telah mengamuk dan bertindak menyiram minyak yang dibawanya yang dipercayai petrol ke seluruh bahagian rumah tersebut," katanya di sini Khamis.

Beliau berkata mangsa turut terkorban kerana badannya turut disambar api.

Yang turut terkorban ialah Ezza Nurfarhaine Othman, 24, yang merupakan orang kelainan upaya dan Maliki Hanie Aziz, berusia tiga tahun. Sementara yang cedera ialah Nor Ezzadatul Fazlin Othman, 33, dan Nor Syafiqa Abu Sari, 18.

Mohd Nor berkata Nor Ezzadatul Fazlin yang sedang mengandung dilaporkan berada dalam keadaan koma dan dirawat bersama Nor Syafiqa di Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu.

Seorang ahli keluarga mangsa, Hashim Rajab, 51, berkata beliau sedang mengecat rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mangsa, ketika kejadian itu.

Beliau yang hanya berseluar pendek terus berlari ke rumah yang terbakar itu sebaik dimaklumkan jirannya, namun beliau tidak dapat membantu menyelamat mangsa kerana keadaan api yang marak.

"Tidak sangka anak dan cucu saudara saya meninggal dunia dalam keadaan begitu, lebih-lebih lagi di saat umat Islam hendak menyambut Hari Raya," katanya. - BERNAMA

25 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment