July 24, 2013

Bomba ambil 10 jam padam kebakaran tapak lupus sampah Tanjung Tualang

Anggota bomba berusaha memadamkan api yang masih ada di dalam longgokan sampah di Salak. Gambar Sinar Harian

IPOH: Pasukan bomba dan penyelamat dari dua balai mengambil masa 10 jam untuk memadam kebakaran meliputi kawasan hampir 0.8 hektar di tapak pelupusan sampah Tanjung Tualang berhampiran Batu Gajah dekat sini mulai 8.36 malam semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah Halid Md Zin berkata operasi pemadaman kebakaran di tapak pelupusan sampah Batu 3, Jalan Tanjung Tualang itu berakhir 6.30 pagi.

"Operasi ditamatkan selepas kita memastikan kebakaran tidak merebak terutama ke kawasan berhampiran yang menempatkan kabel elektrik voltan tinggi. Kita juga perlu pastikan asap kebakaran tidak menggangu ketenteraman awam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun kebakaran hanya melibatkan 0.8 hektar berbanding keseluruhan tapak seluas empat hektar, namun disebabkan timbunan sampah setinggi bangunan tiga tingkat, anggota bomba perlu menggali himpunan sampah yang padat itu sebelum membuat penyemburan buih ke dalamnya.

Beberapa sektor pemadaman juga dibahagikan untuk memudahkan operasi penyemburan oleh dua buah jentera dengan 14 anggota, katanya.

Halid berkata anggota bomba menggali timbunan sampah yang padat itu secara manual selepas gagal mendapatkan bantuan jentolak bagi memudahkan serta mempercepatkan operasi pemadaman api.

"Kita belum dapat memastikan punca kebakaran, tambahan pula sekarang musim panas. Mungkin ada bahan api yang pelbagai di tapak sampah itu," katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.28 malam dari Pusat Gerakan Operasi negeri dan sebuah jentera dari Batu Gajah bersama-sama tujuh anggota bergegas ke tempat kebakaran.

"Apabila melakukan pemadaman, kita mengalami masalah bekalan air sebelum memohon bantuan dari Balai Bomba Pasir Puteh. Ketika kita tiba di lokasi kejadian api sudah marak dan kawasan kebakaran terletak berhampiran kabel elektrik voltan tinggi," katanya.

Pasukan kemudian mengatur pergerakan pemadaman supaya dapat memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan kabel berkenaan, katanya.

Beliau berkata tapak pelupusan sampah itu terletak berhampiran ladang kelapa sawit dan jauh dari kawasan perumahan penduduk sekitar. - Bernama

24 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment