June 15, 2013

Sawah tenggelam, pesawah rugi RM400,000

JITRA - Lebih 400 pesawah dalam kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ason, dekat sini, kerugian kira-kira RM400,000 setelah 282.7 hektar sawah padi yang mereka usahakan ditenggelami air, Khamis lepas.
   
Antara kawasan sawah padi terlibat adalah di Kampung Kubang Pasu, Kampung Bukit, Kampung Tebing, Kampung Natoi, Paya Ason dan Kubang Betong.
   
Salah seorang pesawah terlibat, Wan Saad Wan Daud berkata hujan lebat Khamis lepas menyebabkan air sungai berdekatan melimpah sekali gus merosakkan anak padi yang berusia kira-kira sebulan.
   
Wan Saad, 70, berkata keadaan sungai yang sempit dan ditambah kuantiti air terlalu banyak dari Sungai Sintok, menyebabkan air melimpah masuk dan menenggelamkan sawah sedalam satu meter.
   
"Kami rugilah kalau keadaan terus macam ni. Air dalam bendang (sawah) ni akan ambil masa lebih seminggu untuk kering dan kami terpaksa bajak semula dan tabur padi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Natoi, Mukim Hosba, dekat sini hari ini.
 
Tinjauan Bernama mendapati kawasan sawah padi yang ditenggelami air seperti tasik menyebabkan kawasan itu mengambil masa lebih seminggu untuk dikeringkan memandangkan keadaan sawah yang rendah daripada sungai berdekatan.
   
Pesawah Abdullah Ali, 48, berkata keadaan sungai berdekatan iaitu Sungai Bata yang sempit menyebabkan sawah padinya sering terdedah kepada banjir sejak sejak lama.
   
Dia berharap pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut.
   
Abdullah berkata sebelum ini mereka telah membuat aduan kepada JPS dan kerja-kerja pembersihan sungai dibuat namun masalah yang mereka hadapi gagal diselesaikan apabila sawah mereka sering ditenggelami air.
   
"Selalunya bulan November dan Disember iaitu ketika musim hujan di negeri ini, sawah kami akan tenggelam sebab air sungai terlalu banyak.
   
"Saya harap pihak terlibat prihatin dengan nasib yang menimpa kami. Hulurkan bantuan untuk ringankan beban kami yang bergantung sumber pendapatan kepada hasil padi sahaja," katanya. - Bernama

15 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment