March 13, 2013

Inspektor polis wanita hadapi 2 tuduhan rasuah


SHAH ALAM - Seorang pegawai polis wanita berpangkat inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cuba memperoleh dan memperoleh rasuah sebagai dorongan untuk melepaskan seorang suspek kes dadah, dua tahun lepas.
 
Suziana Zamli, 33, dari Klang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Asmadi Hussin.
   
Pegawai polis itu yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan didakwa cuba memperoleh bagi dirinya suapan wang tunai RM10,000 daripada Nurul Faranika Bakar sebagai dorongan untuk melepaskan abang Nurul Faranika yang ditangkap polis kerana melakukan kesalahan memiliki dadah.
 
Suziana didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Klang Selatan, Klang dekat sini, pada pukul 3.30 petang, 6 Oktober 2011.
 
Pegawai polis itu juga didakwa memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM8,000 daripada Nurul Faranika sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama pada pukul 12.20 tengah hari, 10 Oktober 2011, di tempat yang sama.
   
Jika sabit kesalahan, Suziana boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
 
Pegawai Pendakwa dari SPRM Mahamad Sukri Seman @ Abu Seman yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
 
Suziana bagaimanapun memohon agar jumlah itu dikurangkan atas alasan dia sedang menyambung pengajian dalam bidang sarjana di sebuah universiti tempatan bagi kursus media perang saraf menggunakan perbelanjaan sendiri.
 
Hakim Asmadi kemudian membenarkan pegawai polis itu dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 10 April ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Sinar Harian 12 Mac 2013

0 comments:

Post a Comment