March 21, 2011

Anak terbujur tepi tiang lampu


KUALA LUMPUR: “Luluh hati saya sebaik melihat anak sulong terbujur kaku di tanah. Malah, hampir pitam apabila mendapati dia tidak bernyawa,” kata Mohd Marzuki Muda, 44, bapa Muhammad Naqiuddin, 11, yang maut selepas terkena renjatan elektrik ketika bermain bola di kawasan permainan di Taman Perumahan Batu 3, Shah Alam, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa terkena arus elektrik voltan tinggi pada sebatang tiang lampu yang dipercayai mengalami masalah teknikal sejak beberapa bulan lalu di kawasan padang permainan berkenaan.

Malah, sebulan lalu seorang kanak-kanak dilaporkan terkena renjatan elektrik ketika terpegang tiang itu, namun tidak mengalami kemalangan jiwa.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Marzuki berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan rakan-rakan anaknya sebelum bergegas ke tempat kejadian.

PILU...Mohd Marzuki (gambar kecil) menunggu hasil bedah siasat di luar bilik Mayat PPUM, semalam.

Menceritakan kejadian itu, Marzuki berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mengambil kayu untuk menjauhkan anaknya dari kawasan tiang lampu itu sebelum mendapati wajah Naqiuddin seperti terbakar.

“Selepas yakin tiada arus elektrik pada tubuhnya, saya mengusap dahi Naqiuddin sebelum mendapati seluruh tubuhnya panas.

“Biarpun pemeriksaan saya mendapati Naqiuddin tidak bernyawa, saya tidak putus-putus mendoakan keselamatannya dan berharap dia dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, semalam.

Menurutnya, dia dengan bantuan penduduk sekitar membawa anak sulungnya ke hospital swasta berhampiran kawasan berkenaan.

“Doktor mengesahkan Naqiuddin sudah meninggal dunia apabila arus elektrik memberi kesan kepada jantungnya. Atas arahan doktor, Naqiuddin dipindahkan ke PPUM untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian itu, anak ketiganya, Mohd Idzuddin, 4, berperangai pelik seolah-olah sesuatu perkara buruk akan berlaku apabila sering merengek untuk pulang ke kampungnya di Kampung Telaga Nibong, Jerteh, Terengganu.

“Saya tidak menyangka rengekan itu menandakan kehilangannya,” katanya.

Menurutnya, anaknya yang juga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 itu sentiasa taat kepadanya dan isteri, Ros Zakaria, 30-an.

“Sebelum Naquiddin keluar rumah, dia meminta kebenaran bermain di padang, malah sempat menunaikan solat Zuhur dan Asar,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Muhammad Naquiddin akan dikebumikan di Jerteh, Terengganu hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Katanya, laporan bedah siasat mendapati punca kematian kerana renjatan elektrik.

Menurutnya, pihaknya sehingga kini menanti laporan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang masih menyiasat punca kemalangan itu.

myMetro
21 Mac 2011


Tiang lampu ragut nyawa budak

PETALING JAYA – Kegembiraan seorang kanak-kanak yang sedang bermain bola sepak bersama lima rakannya tidak berpanjangan apabila dia meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik dari sebatang tiang lampu limpah di taman permainan Taman Batu 3, Shah Alam kelmarin.

Muhammad Naqiuddin Mohd. Marzuki, 11, disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Shah Alam selepas dia gagal diselamatkan ekoran terkena rencatan elektrik dari tiang lampu yang mempunyai kuasa 240 volt itu.

Difahamkan, kejadian sewaktu hujan renyai pada pukul 6.30 petang itu berlaku apabila salah satu kaki mangsa terkena pada tiang berkenaan. Sebaik direnjat, kakinya melekat pada tiang tersebut manakala mukanya berubah menjadi gelap.

Kosmo
21 Mac 2011


Budak maut kena renjatan elektrik bervoltan tinggi

Kaki mangsa terlekat di tiang lampu tepi padang permainan

SHAH ALAM: Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20 di sini, maut dipercayai terkena renjatan elektrik dari tiang lampu ketika bermain di padang permainan berhampiran rumahnya di Taman Batu Tiga, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Naqiuddin Mohd Marzuki, 11, bermain bola bersama sekumpulan rakannya di situ selepas hujan lebat kira-kira jam 6 petang.

Mangsa dipercayai terkena lebih empat kilovolt arus elektrik daripada kabel elektrik yang dicantumkan pada satu tiang elektrik di situ yang dipercayai mengalami kebocoran.

Bapanya, Mohd Marzuki Muda, 44, berkata beliau berada di rumah ketika kejadian apabila rakan anaknya bergegas memaklumkan anaknya tertiarap tidak sedarkan diri di padang berkenaan.

Setiba di situ, katanya, beliau mendapati anaknya tertiarap dengan muka gelap seakan terbakar tersembam dan sebelah kakinya terkena tiang lampu berkenaan.

“Saya dapat menarik badan Muhammad Naqiuddin sebelum mengejarkannya ke Pusat Perubatan Selangor (SMC) jam 7 petang. Doktor yang merawatnya cuba memberi bantuan pernafasan kira-kira sejam tetapi nyawanya gagal diselamatkan.

“Jenazahnya kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di PPUM, semalam.

Jenazah Muhammad Naqiuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telaga Nibong, Jerteh, Terengganu, petang semalam.

Mohd Marzuki membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Pinggiran Subang, Subang Jaya, petang semalam.

Sementara itu, saksi yang juga jiran mangsa, Razali Abdullah, berkata beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas Mohd Marzuki memintanya melihat keadaan anaknya yang terkena renjatan elektrik.

“Ayah mangsa datang dalam keadaan panik dan tergesa-gesa mengajak saya untuk melihat anaknya yang rebah di padang akibat terkena renjatan elektrik. Saya mengambil kayu dan cuba menolak kaki kanan mangsa yang terlekat pada tiang itu sebelum mendukungnya. Semua jarinya kejang.

“Ini kejadian kedua selepas seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa renjatan elektrik tahun lalu. Mangsa ketika itu terselamat kerana hari kejadian tidak hujan. Aduan mengenai masalah itu sudah diajukan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tetapi ti-ada maklum balas,” katanya.

Rakan mangsa, Mohd Salman Shahmi, 11, berkata ketika kejadian, Muhammad Naqiuddin tiba-tiba berhenti bermain bola dan meninggalkan mereka untuk pulang.

“Seorang daripada rakan kami menegurnya supaya jangan berlari sebelum melihat dia tergelincir kerana padang licin dan berlopak. Kami mendengar dia menjerit kesakitan dan selepas itu suaranya tidak lagi kedengaran,” katanya yang menyifatkan mangsa sebagai rakan yang baik, ramah dan aktif bersukan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar mengesahkan kejadian itu dan memberitahu hasil laporan bedah siasat mendapati Muhammad Naqiuddin meninggal dunia disebabkan terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu laporan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kini masih menyiasat punca kejadian.

Berita Harian
21 Mac 2011


Menjerit sebelum kaki melekap

SHAH ALAM: Jeritan Muhammad Naqiudin Marzuki, 11, sebaik terkena renjatan elektrik sebelum tidak sedarkan diri mengejutkan lima rakannya yang bermain bola sepak di padang permainan di Lorong Intan, Batu Tiga, Shah Alam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Naqiudin dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat bermain bola sepak bersama rakan-rakannya.

Bagaimanapun, dia yang berlari di berhampiran tiang lampu di kawasan berkenaan terkena arus elektrik sebelum rebah.

Saksi kejadian yang juga rakan sepermainan mangsa, Mohd Salman Shahmi, 11, berkata ketika bermain Muhammad Naqiudin memberitahu mahu berhenti daripada bermain.

“Naqiudin memberitahu mahu pulang ke rumah dan kami tidak menghalangnya kerana hari pun sudah lewat,” katanya.

Mohd Salman berkata, seorang rakan melihat Naqiudin berlari ke lampu tiang sebelum menasihatkannya supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan kerana tahu ada arus elektrik pada tiang itu.

“Sama ada Naqiudin dengar atau tidak, saya tidak pasti dan ketika kami menyambung permainan, kami dengar jeritan kuat sebelum melihat Naqiudin terbaring berhampiran tiang itu.

“Pada mulanya kami hendak tolong, tapi takut. Kami kemudian memberitahu ahli keluarganya,” katanya.

Penduduk, Razali Abdullah, 52, berkata ketika kejadian, dia berehat di hadapan rumahnya sebelum melihat beberapa kanak-kanak bergegas ke rumah jirannya.

“Tidak lama kemudian saya lihat jiran bergegas keluar rumah dan memberitahu saya mengenai kejadian terbabit dan saya ke tempat kejadian.

“Sebaik sampai, saya lihat dia tidak sedarkan diri dan tertiarap manakala sebelah kakinya masih melekap pada tiang lampu terbabit. Saya dan bapanya mencapai sebatang kayu lalu cuba menarik kaki arwah jauh dari tiang elektrik itu,” katanya, semalam.

myMetro
21 Mac 2011


10-year-old electrocuted in accident at playground


SHAH ALAM: A 10-year-old boy was electrocuted when he accidentally fell and touched an exposed high-voltage wire on a lamp post at a playground near his house.

Mohd Naqiuddin Marzuki (pic) was on his way home from the playground on Satur­day after a football game with his friends when the incident occurred at about 6pm.

The victim’s father, Mohd Marzuki Muda, 44, who was at home at the time of the incident, said he rushed to the scene after being informed about the accident.

He said his son was motionless with his leg still in contact with the lamp post.

Mohd Marzuki, however, managed to pull his son away from the lamp post using a wooden stick, before rushing him off to the KPJ Selangor hospital where Mohd Naqiuddin was pronounced dead.

“I managed to pull him away from the lamp post but after an hour at KPJ (Selangor hospital), the doctors told me that my son was dead,” he told reporters yesterday.

Yesterday, Mohd Naqiuddin’s body was taken to the University Malaya Medical Centre for a post-mortem before burial in Jerteh, Terengganu.

Meanwhile, resident Razali Ab­­dullah, 52, claimed that it was the second such incident in the area, adding that a child was almost electrocuted about two years ago.

Despite the numerous complaint letters sent to the Subang Jaya Municipal Council, he claimed no action had been taken.

“We are all saddened by the incident and we hope that MBSJ will take appropriate measures after this,” he said.

Subang Jaya OCPD Asst Comm Zainal Rashid Abu Bakar confirmed the case.

Police have classified the case as sudden death.

The Star
21 March 2011


Keluarga mahu ambil tindakan

KUALA LUMPUR - Keluarga mangsa renjatan elektrik di Taman Batu Tiga, Shah Alam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa tempatan susulan kematian adik Muhammad Naqiuddin Mohd Marzuki.

Bapanya, Mohd Marzuki Muda, 44, berkata, pihaknya kecewa kerana setelah lima bulan kematian anaknya, dia masih belum menerima laporan punca kematian daripada pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Suruhanjaya Tenaga ataupun Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Apabila saya ke Suruhanjaya Tenaga, mereka kata laporan sudah siap dan hanya MPSJ sahaja yang boleh ambil, saya keliru dan merasakan perkara itu sengaja di lengahkan,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno semalam.

Menurutnya, pihak berkenaan lebih mementingkan laporan untuk pampasan bukannya meneliti punca sebenar kejadian itu berlaku.

“Saya tidak mengharapkan pampasan itu, anak saya sudah tiada, kalau perkara ini dibiarkan, dikhuatiri akan berulang lagi dan ada nyawa yang melayang,” katanya.

Pada 11 Mac lalu, Naqiuddin murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, maut dipercayai terkena lebih empat kilovolt arus elektrik daripada kabel elektrik yang dicantumkan pada satu tiang elektrik di situ yang dipercayai mengalami kebocoran.

Pengerusi, Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, pihaknya akan memberikan khidmat peguam kepada keluarga ini untuk menuntut keadilan.

“Saya dimaklumkan selepas kematian adik Naqiuddin, TNB datang memotong arus bekalan elektrik yang berlebihan, itu bermakna mereka sepatutnya terlebih dulu mengesan ada kerosakan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, Isnin ini peguamnya akan membuat satu surat bagi mendesak pihak bertanggungjawab memberikan jawapan dan penjelasan punca sebenar penyebab kematian Naqiuddin.

Sementara ibu Naqiuddin, Ros Zakaria, 37, masih bersedih dengan pemergian anak sulungnya itu.

“Ketika membuat baju raya hati saya pilu, biasanya sediakan untuk tiga anak tetapi tahun ini hanya dua,” katanya.

Sinar Harian
19 Ogos 2011

0 comments:

Post a Comment