October 13, 2016

Menjerit tetak ibu

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Ampang Jaya: “Hanya jeritan Allahuakbar kedengaran beberapa kali dari rumah mangsa sebelum keadaan kembali sunyi,” kata penghuni pangsapuri Menara Jade, Bukit Indah di sini, Bhalraj Singh, 37, yang terkejut sebaik mengetahui jirannya dibunuh anak kandung pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi, mayat mangsa, Halmaton Katan, 49, ditemui polis di ruang tamu berhampiran pintu masuk kediaman dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman di badan serta leher.

Bhalraj, berkata, dia tidur di rumahnya yang terletak di tingkat dua blok pangsapuri berkenaan sebelum dikejutkan dengan bunyi jeritan dari rumah mangsa yang terletak di tingkat satu kediaman.

“Pada mulanya, saya terdengar bunyi pergelutan dan suara lelaki menjerit ‘Allahuakbar’ beberapa kali dari rumah di tingkat bawah. Namun suara itu hilang dalam tempoh beberapa minit menyebabkan saya kembali tidur dan menyangkakan tiada apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia bagaimanapun tersedar semula apabila terdengar bunyi seseorang cuba memecah masuk rumahnya dengan memanjat jeriji besi di balkoni.

“Saya terkejut melihat anak jiran saya memanjat dan menggoncang besi balkoni itu berulang kali. Tambah menakutkan apabila dia dilihat ketawa dan merengus seperti serigala.

“Akibat risau dengan keselamatan diri, saya menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan. Bagaimanapun sebaik polis tiba, lelaki itu melarikan diri,” katanya yang baru saja menetap empat hari di pangsapuri berkenaan sejak Sabtu lalu.

Bhalraj berkata, dia pernah terserempak dengan lelaki berusia 23 tahun itu ketika dia berada di tangga menuju ke rumahnya sewaktu berpindah masuk beberapa hari lalu.

“Pemuda itu berkelakuan biasa ketika kali pertama saya terserempak dengannya. Dia tidak menunjukkan reaksi yang kurang menyenangkan ketika disapa,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jiran mangsa, Ahmad Firdaus, 37, berkata, dia tidak pernah mendengar pertengkaran antara dua beranak itu sejak menetap di pangsapuri itu hampir lima tahun lalu.

“Saya dimaklumkan jiran lain bahawa mangsa yang tinggal berdua bersama anak lelakinya menetap di rumah berkenaan sejak 10 tahun lalu.

“Sepanjang tempoh lima tahun menetap di sini, saya tidak pernah mendengar pertengkaran di antara mereka. Malah, mereka sangat peramah dan sering bertegur sapa sekiranya terserempak,” katanya.

Katanya, dia terkejut apabila pintu rumahnya diketuk anggota polis jam 4 pagi semalam yang bertanyakan insiden ngeri yang berlaku itu.

“Saya hanya tahu mengenai kejadian ini apabila dimaklumkan polis. Saya tidak menyangka dia (anak mangsa) tergamak membunuh ibu kandungnya,” katanya.

myMetro Rabu, 5 Oktober 2016

0 comments:

Post a Comment