October 13, 2016

Ini baru betul 'till jannah'



Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Saya sanggup buat apa saja untuk dia dan saya mahu sentiasa ada di sisinya. Sebab itu saya berniaga kecil-kecilan jual makanan ringan di rumah saja supaya saya senang menjaganya.

"Dia sudah kehilangan derianya dan susah untuk bergerak. Jadi kalau berniaga di rumah, boleh saya tengok-tengokkan dia sambil uruskan pesanan pelanggan."

Itu pengorbanan dilakukan seorang isteri yang enggan berpisah walau seketika dengan suami tercinta yang terlantar sakit, untuk menampung perbelanjaan perubatan suaminya itu.

Noor Azizah Ahmad Jahid, 28, berkata, dia tidak sanggup untuk meninggalkan suaminya, Muhammad Shafeezan Othman, 29, yang menderita kanser hidung dan sudah kehilangan deria penglihatan, bau dan rasa.

Dia yang sudah berkahwin empat tahun dengan Muhammad Shafeezan dan belum dikurniakan cahaya mata tersentak ketika doktor mengesahkan kanser kembali menyerang suaminya.

Muhammad Shafeezan sebenarnya dikesan mempunyai kanser sejak berusia 18 tahun dan kemudiannya disahkan bebas daripada penyakit itu sehinggalah Disember 2015.

"Suami membuat pemeriksaan di Hospital Selayang kerana mengalami bengkak pada hidungnya disebabkan ketumbuhan akhir tahun lalu sebelum doktor mengesahkan kanser kembali menyerang.

"Pembedahan untuk membuang kanser itu sudah dibuat sebanyak empat kali, namun masih tidak sembuh sehinggalah suami terlantar dan kanser itu menyebabkan mata suami tersembul," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sejak daripada itu, dia berpindah ke rumah mentuanya di Batu 19, Pantai Jeram, Kuala Selangor supaya suaminya mendapat penjagaan yang sempurna daripada dirinya dan keluarga.

Ketika dihubungi, Noor Azizah menangis kerana rindukan suaminya ketika masih sihat dan terlalu merindui untuk bersama-sama mencari rezeki setiap hari.

"Sebelum sakit, suami bekerja sebagai penyelenggara pendawaian dan menjual burger pada sebelah malam bersama saya.

"Saya sentiasa mengikuti kemana saja dia pergi untuk bekerja sambilan termasuk pada hujung minggu sebagai penjaga sistem audio.

"Ini takdir saya, dan saya redha dengan ujian yang Allah SWT beri kepada saya dan berharap agar suami cepat sembuh," katanya.

Enggan berpeluk tubuh dengan hanya mengharapkan wang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, bantuan Zakat (RM250) dan bantuan perjalanan ke hospital (RM100), dia menjalankan perniagaan untuk menampung perbelanjaan rawatan suaminya lebih RM1,000 sebulan.

Noor Azizah berniaga makanan ringan dengan menerima tempahan menerusi Facebook (FB), Aziezah Ahmad dengan dibantu adik iparnya.

Kepada yang ingin membuat tempahan makanan ringan boleh hubungi Noor Azizah di talian 012-2183492.

Jumaat, 30 September 2016

0 comments:

Post a Comment