May 13, 2016

Warga emas maut elak monyet

ARKIB 4 Mei 2016
Kassim Ibrahim

MASTURAH SURADI
Sinar Harian

KOTA TINGGI - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggang terbabas ketika mengelak daripada melanggar monyet di jalan utama Felda Pasir Raja, pagi tadi.

Mangsa, Kassim Ibrahim, 65 mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Felda Bukit Besar.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata kejadian kira-kira jam 8 pagi itu melibatkan motosikal jenis Honda Wave.

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Jalan Sungai Sayong-Bandar Tenggara menghala pulang ke rumahnya di Felda Pasir Raja.

"Mangsa secara tiba-tiba mengelak dari melanggar seekor binatang dipercayai monyet lalu menyebabkan motosikal yang ditunggang hilang kawalan dan telah terbabas lalu terbalik di atas jalan raya,"katanya.

Katanya lagi, hasil siasatan mendapati tempat kejadian adalah jalan lurus dan mempunyai garisan putus-putus.

"Permukaan jalan kering dan keadaan cuaca juga baik ketika kejadian. Kawasan kiri dan kanan tempat kejadian pula adalah ladang kelapa sawit. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.



0 comments:

Post a Comment