May 21, 2016

Warga emas ditemui selepas mercun diletupkan

Abdullah didukung Wan Ismail untuk dibawa keluar dari hutan.

Telefon bimbit mangsa ditemui 30 meter dari tempat mangsa duduk.

KEMAMAN - Warga emas yang hilang dalam hutan di belakang rumahnya di Kampung Tanjung Bukit Mentok sejak Sabtu lalu berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada jam 3.30 petang semalam setelah penduduk kampung yang melakukan pencarian memasang mercun di lokasi penemuan barang milik mangsa.

Abdullah Besar, 60, yang berada bawah pokok nipah di tepi sungai dalam hutan itu berjaya dikesan orang kampung apabila mangsa bangun akibat terperanjat dengan bunyi kuat letupan mercun.

Mangsa yang mengalami masalah gangguan mental ditemui dalam jarak kira-kira satu kilometer dari rumahnya dalam keadaan lemah dan comot tapi masih lengkap berpakaian.

Wan Ismail Awang, 41, berkata, dia memasang mercun bagi mengesan kedudukan Abdullah selepas menemui kesan tapak kaki, telefon bimbit dan kopiah di atas tanah, manakala seluar milik mangsa tersangkut pada pelepah pokok nipah.

“Sejurus mercun meletup saya nampak dia bingkas bangun kerana terkejut. Kedudukan dia waktu itu kira-kira 30 meter dari barang-barangnya yang saya jumpa.

“Saya hampirinya dan waktu itu mimik mukanya masih marah, saya pujuknya supaya balik dan akhirnya dia akur. Saya dan orang kampung yang lain kemudian dukungnya keluar dari hutan,” katanya.

Seramai 15 penduduk kampung termasuk Wan Ismail memulakan pencarian pada operasi mencari yang masuk hari keempat semalam, bermula jam 2 petang.

Wan Ismail berkata, barang peribadi milik Abdullah dijumpai ketika penduduk terlibat hampir berputus asa.

“Memang kecewa dan rasa nak patah balik sebab lebih sejam kami cari, masih tak jumpa apa-apa petunjuk.

"Tapi saya cekalkan hati masuk lebih dalam dan akhirnya saya jumpa kesan pokok renek patah sebelum temui barangnya,” katanya yang bekerja sebagai pemotong rumput.

Berkat kegigihan penduduk

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din berkata, pencarian itu berjaya dilakukan berkat usaha gigih orang kampung.

“Walaupun pihak berkuasa luaskan pencarian ke kawasan bandar pada hari ini (semalam) tapi orang kampung masih teruskan kerja carian dalam hutan dan akhirnya berhasil menemui mangsa. Mungkin mangsa pakai seluar dua lapis sebab sehelai seluar tersangkut pada pelepah nipah.

"Usaha mengeluarkannya dari hutan dilakukan orang kampung dan dibantu pihak bomba. Kita hantar mangsa ke Hospital Kemaman untuk rawatan,” katanya.

Normansah berterima kasih kepada penduduk yang dipimpin Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Mentok, Mohd Azmy Mohd Ali atas usaha melakukan pencarian tanpa putus asa.

Hadir menziarahi keluarga Abdullah sebaik dia ditemui adalah Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman merangkap Ketua Wanita Umno Bahagian Kemaman, Datuk Rohani Abdullah.

Disorok makhluk halus

Dalam pada itu, Mohd Azmy berkata, lokasi Abdullah dijumpai sebelum ini pernah dilalui anggota bomba yang terlibat dalam operasi mencari.

“Kawasan hutan ini agak ‘keras’ dan kami penduduk kampung tak tolak andaian mangsa kena ‘sorok’ benda (makhluk) halus. Sebelum ini memang sudah banyak kes orang kampung sesat bila masuk hutan ini.

“Saya mewakili penduduk kampung ini memohon pihak berkuasa agar membersihkan kawasan hutan di kampung ini untuk elakkan kejadian ini terus berulang,” katanya.

Katanya, berikutan kejayaan menemui mangsa dengan selamat, pihak JKKK kampung akan mengadakan majlis tahlil dan doa selamat pada malam ini (19 Mei).

Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2016


Warga emas hilang dalam hutan

RAIHAM MOHD SANUSI

KEMAMAN – Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu selepas memasuki hutan di belakang rumahnya dalam kejadian di Kampung Tanjung Bukit Mentok, di sini.

Mangsa, Abdullah Besar, 60, yang mengalami gangguan mental masuk ke dalam hutan kira-kira jam 11 pagi pada Sabtu lalu dan sejak itu tidak pulang semula ke rumah.

Anak saudara mangsa, Muhammad Hakim Razali, 27, berkata, bapa saudaranya itu yang tinggal bersamanya sekeluarga keluar dari rumah dalam keadaan muka marah dan meluru masuk ke dalam hutan di belakang rumah seperti mengejar sesuatu.

“Biasanya setiap kali sakitnya menyerang dan dia masuk ke dalam hutan dia tetap balik semula ke rumah selepas dua tiga jam kemudian tapi kali ini dia tak balik-balik, keadaan ini buatkan kami sangat risau.

“Setelah 24 jam dia tak juga balik, saya buat laporan polis di Balai Polis Chukai pada petang kelmarin,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kepada ibunya yang mengusahakan perniagaan cili boh ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Berikutan laporan polis yang dibuat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan kelmarin oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kemaman dengan dibantu penduduk kampung.

Pegawai Operasi BBP Chukai, PBK II Mat Daling Mat Dahan berkata, radius pencarian mangsa pada SAR hari ini diperluaskan ke kawasan sekitar tiga kilometer dari rumah mangsa selain pencarian turut dilakukan Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berpengkalan di Batu 6, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

“Kawasan pencarian hari ini diperluaskan sejauh tiga kilometer dari rumah mangsa dan kita juga buat rondaan di sepanjang sungai yang terletak di kira-kira dua kilometer dari belakang rumah mangsa. Kita buat rondaan menggunakan sebuah bot bermula dari sungai di kampung ini hingga ke Kampung Pengkalan Pandan sejauh kira-kira tiga kilometer,” katanya.

Sinar Harian 17 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment