May 13, 2016

Wanita warga emas rentung

Anggota bomba memadamkan kebakaran rumah yang mengorbankan wanita warga emas. FOTO ihsan bomba

Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Johor Bahru: Wanita warga emas berusia 70-an ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Felda Cemplak, Labis, tengah malam tadi.

Sumber bomba berkata, sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra selepas menerima panggilan pada 11.10 malam.

"Kejadian berkenaan membabitkan sebuah rumah jenis sementara berkeluasan 70x30 kaki persegi terbakar keseluruhan.

"Seorang wanita warga emas ditemui sudah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

myMetro 12 Mei 2016


Hasrat ibu buat kenduri tahlil tidak kesampaian

Keadaan rumah mangsa yang rentung dalam kebakaran. Gambar kecil: Wagiam Wongso

MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON

LABIS - Hasrat seorang warga emas di Felda Chemplak, di sini, untuk mengadakan kenduri tahlil untuk arwah suaminya Sabtu ini tidak kesampaian selepas dia ditemui rentung dalam kebakaran di rumahnya, malam semalam.

Shafiee Leman, 47, berkata, dia hanya mengetahui kejadian malang yang menimpa ibunya, Wagiam Wongso, 84, selepas dihubungi oleh salah seorang jiran ibunya kira-kira pukul 11 malam.

"Saya kemudian terus menghubungi salah seorang adik yang tinggal di Felda Redong dan memintanya pulang ke kampung sebelum saya sendiri bergegas dari rumah di Simpang Jabi dengan keadaan yang tidak keruan.

"Setibanya saya di sana, luluh hati melihat rumah peninggalan arwah bapa sudah hangus dijilat api dan ketika itu bomba sedang bertungkus lumus memadamkan api dan saya dimaklumkan keadaan badan emak memang 100 peratus hangus," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, emaknya hanya tinggal seorang diri di rumah tersebut selepas arwah bapanya, Leman Noor meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa ibunya adalah pada hari Selasa lalu ketika membincangkan persiapan kenduri tahlil arwah bapanya bersama adik beradiknya yang lain.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Mohd Taha Husian berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai kejadian tersebut pada pukul 11.10 malam sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke kawasan kejadian.

Menurutnya, pihaknya juga turut menerima bantuan daripada Balai Bomba Bandar Putra  dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan mayat mangsa dibawa ke Rumah Mayat Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh warisnya.

Sinar Harian 12 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment