May 26, 2016

Wang pampasan RM60,000 lesap

SHAFIQ TINO

JOHOR BAHRU - Seorang bekas pekerja kilang terkilan hasrat membeli kereta baharu musnah selepas dia dan keluarga disamun sebaik sahaja mengeluarkan wang dari sebuah bank di Permas Jaya, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 40-an, bersama isteri dan anak perempuannya disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di hadapan kedai runcit berhampiran bank berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku selepas mangsa meninggalkan isteri dan anaknya di dalam kereta untuk keluar membeli barang di kedai runcit.

"Semasa mereka berdua menunggu dalam kereta dengan wang berjumlah RM60,000 yang baru sahaja dikeluarkan itu, tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Waja berwarna perak.

"Terdapat tiga suspek, dua daripadanya meluru keluar, dengan masing-masing memegang parang lalu mengepung kiri dan kanan kereta sebelum seorang daripadanya memecahkan cermin tingkap kereta di tempat duduk anak perempuan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jiwa Murni Sentuhan Aidilfitri 2016 di Plaza Angsana, di sini, semalam.

Sulaiman berkata, seorang daripada mereka merampas beg berisi wang tersebut sebelum melarikan diri dan kejadian berlaku dalam tempoh satu minit.

Menurutnya, semasa kejadian, semua suspek tidak memakai topeng termasuk seorang daripadanya yang menunggu dalam kereta dengan nombor pendaftaran dikenal pasti hanya 6949 dan ketiga-tiganya berusia dalam lingkungan 30-an.

"Mangsa baru sahaja mengeluarkan wang tersebut, yang juga bayaran pampasannya selepas berhenti kerja di kilang dan difahamkan dia sedang mencari kerja baharu.

"Dipercayai ketiga-tiga suspek mengekori mangsa semasa di bank lagi sebelum mengambil kesempatan melakukan samun semasa keluarga malang tersebut berhenti di depan kedai runcit berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Sulaiman berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan bersenjata.

"Dalam kes ini, kita akan dapatkan bantuan pihak bank untuk mengesan mana-mana lelaki mencurigakan di dalam dan luar kawasan bank menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semasa mangsa berurusan di kaunter.

"Polis juga menasihatkan mana-mana individu yang mahu mengeluarkan wang tunai dalam jumlah banyak supaya berurusan di bahagian dalam bank, bukan di kaunter kerana cara ini terdedah dan boleh dilihat secara terbuka," katanya.

Sinar Harian 26 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment