May 23, 2016

Tragedi cuba selamatkan bot

Mayat mangsa ditemui terapung pada sangkar ikan.

TANJUNG PIANDANG - Gara-gara cuba menyelamatkan tong digunakan untuk menambat bot dinaiki, seorang remaja terjatuh ke dalam laut di perairan Tanjung Piandang, jam 5.30 petang kelmarin.

Bagaimanapun, mayat Tan Yeh Cheng, 16, berjaya ditemui nelayan tempatan pada jam 8.30 pagi semalam, di kawasan sangkar ikan tidak jauh dari tempat mangsa terjatuh.

Rakan mangsa yang enggan identiti didedahkan berkata, dia bersama mangsa serta dua lagi rakan dalam perjalanan pulang dari sangkar ikan di perairan terbabit sebelum singgah bersembahyang di sebuah tokong kecil di Kuala Tanjung Piandang.

Menurutnya, selepas itu, mereka menyedari bot ditambat pada tiang berhampiran tokong terbabit terlepas dari ikatan dan hanyut dibawa arus kira-kira 150 meter dari tepi pantai.

“Melihatnya terjun ke dalam laut kami segera melarangnya namun mendiang tidak mengendahkan dan berenang ke arah bot terbabit. Pada waktu itu keadaan air bergelora dan angin agak kuat.

“Tiba-tiba, kami melihat mangsa terkapai-kapai kelemasan dan dalam masa yang sama sebuah bot nelayan berhampiran cuba membantu dan melemparkan dua tong minyak kosong namun mangsa gagal mencapainya dan tenggelam dibawa arus,” katanya.

Katanya, beberapa nelayan cuba menyelam untuk mencari mangsa namun gagal berikutan keadaan laut bergelora.

“Berikutan usaha pencarian gagal, laporan polis dibuat sekitar jam 6.30 petang kelmarin, bagi memohon bantuan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.

“Kami bersyukur mayat mangsa akhirnya ditemui hari ini (semalam) terapung pada sebuah sangkar ikan sekitar kira-kira satu kilometer dari pantai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, susulan laporan diterima, sebuah bot Polis Marin RH 34 dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Menurutnya, operasi yang dilakukan sejak petang kelmarin melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan dibantu nelayan tempatan.

“Operasi dijalankan pada mulanya tidak dapat menemui mangsa dan dihentikan sebelum disambung pada jam 7 pagi semalam. Menurut laporan diterima daripada pengadu berusia 46 tahun, mangsa hilang pada jarak 0.1 batu nautika dari pantai ketika cuba menyelamatkan bot hanyut.

“Mayat mangsa ditemui sekitar jam 8.30 pagi, terapung pada sangkar ikan kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat,” katanya.

Dalam pada itu bapa mangsa yang hanya mahu dikenali Tan berkata, mangsa merupakan anak sulung dari dua beradik, tidak lagi bersekolah pada tahun ini dan bekerja di sangkar ikan.

Sinar Harian 23 Mei 2016


Remaja ditemui lemas

MAYAT mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pagi ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Bagan Serai: Remaja lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut di perairan Tanjung Piandang, Kuala Kurau, di sini, 6.30 petang semalam.

Mayat Tan Yin Cheng, 16, ditemui 8.30 pagi tadi kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, Tajul Arif Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.45 petang semalam daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam laut.

"Operasi mencari dan meyelamat akhirnya menemui mayat mangsa pada 8.30 pagi tadi berdekatan sangkar ikan dalam jarak satu kilometer dari lokasi mangsa jatuh.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

myMetro 22 Mei 2016




0 comments:

Post a Comment