May 9, 2016

Tikam rakan sampai mati

ANGGOTA polis membawa suspek (dua dari kiri) ke lokasi dipercayai tempat suspek membuang senjata. FOTO ihsan polis

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Nilai: Seorang lelaki warga Vietnam maut ditikam rakan sekerjanya di sebuah kilang besi di Kawasan Perindustrian Arab Malaysian, di sini, tengah hari semalam.

Mangsa, Tran Try Ong Thien Lan, 42, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Nilai Medical Centre jam 2.35 petang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, berlaku kejadian pergaduhan jam 12.30 tengah hari antara mangsa dan seorang lelaki warga Vietnam berusia 28 tahun di kawasan kilang berkenaan.

"Suspek bertindak menikam mangsa di bahagian rusuk kiri dipercayai menggunakan senjata pisau lipat. Kejadian itu disedari rakan sekerja lain sebelum mangsa dihantar ke hospital berkenaan untuk rawatan.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Polis kemudian menahan suspek di kawasan berhampiran kilang berkenaan, namun senjata digunakan suspek masih belum ditemui," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

myMetro 9 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment