May 21, 2016

Tiga maut kereta dirempuh treler

KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca

Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my

Ipoh: Tiga maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki dirempuh treler di Jalan Lahat-Simpang Pulai dekat Kampung Kepayang di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.04 petang itu, keempat-empat mangsa yang menaiki kereta dipercayai dalam perjalanan dari Puchong ke Sitiawan ketika kejadian berlaku.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Abd Razak Shaari berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada 1.10 petang selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum bertindak mengeluarkan mangsa.

"Pasukan perubatan bagaimanapun mengesahkan dua mangsa perempuan dan seorang mangsa lelaki meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Manakala seorang lagi lelaki parah," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, tiga mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

myMetro 17 Mei 2016


Tiga maut kereta dirempuh treler

ROSDALILAH ZAHARI

IPOH – Sepasang suami isteri antara tiga yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah treler dan kereta Perodua Myvi di Jalan Lahat, Kampung Kepayang, di sini, petang semalam.

Kejadian jam 1 petang itu turut mengorbankan kakak mangsa sementara abang ipar yang memandu kereta berkenaan cedera parah.

Mangsa yang maut dikenali K P Tamaraivani, 49, dan suami, S Manickam, 54; kakak mangsa, K P Poonggothai, 57, sementara suaminya, R Marimuthu, 58, menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Anak kedua Marimuthu, M Aruvindran, 24, ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB berkata, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Puchong, Selangor untuk melawat sepupunya yang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Seri Iskandar.

Menurutnya, sebelum ini bapanya menerima panggilan daripada bapa saudaranya dan mengajak menemani mereka melawat sepupunya itu.

“Semalam (kelmarin) adalah kali terakhir saya bertemu dengan kedua ibu bapa. Saya masih terkejut dan sedih dengan pemergian ibu serta ibu dan bapa saudara,” katanya yang mempunyai seorang kakak dan adik perempuan.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, treler 14 tayar dipercayai merempuh bahagian belakang kenderaan dinaiki keempat-empat mangsa tersebut.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Abd Razak Shaari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.04 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira enam minit kemudian.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati empat mangsa tersepit di dalam kereta berkenaan.

“Kita membantu mengeluarkan kesemua mangsa terbabit dan tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.

“Kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sinar Harian 18 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment