May 5, 2016

Tiga maut bertembung

Kereta Honda Civic remuk dalam kemalangan di Kilometer 2.4 Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, di sini, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca

Mohamed Sahidi Yusof
am@hmetro.com.my

Tanah Merah: Tiga lelaki maut dan tiga wanita cedera parah dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan di Kilometer 2.4 Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, kereta jenis Honda Civic yang dinaiki lima rakan dalam perjalanan dari Tanah Merah menghala ke Pasir Mas hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Pada masa sama datang kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah melanggar sebelah kiri kereta Honda Civic.

Akibat kemalangan itu pemandu Proton Wira, Tan Hok Sun, 28, maut di lokasi kejadian, manakala dua lelaki iaitu pemandu Honda Civic, Mohd Alif Amani Mohd, 20, dan penumpang, Muhammad Salihin Yasar, 17, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, tiga wanita yang juga penumpang Honda Civic yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini, hari ini.

myMetro 30 April 2016


Tiga maut dalam kemalangan dua kereta

Keadaan kereta Honda Civic selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Proton Wira yang mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 2.4, Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, dekat Tanah Merah.

AZMAN CHE MAN

TANAH MERAH - Tiga orang termasuk seorang pelajar maut dalam kemalangan membabitkan kereta Honda Civic dan Proton Wira di Kilometer 2.4, Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.25 pagi itu, tiga remaja perempuan yang menaiki kereta Honda terbabit cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tanah Merah (HTM).

Mangsa yang terkorban ialah pemandu kereta Proton Wira, Tan Hok Sun, 28, pemandu Honda Civic, Mohd Alif Amani Mohd Zardi, 20, dan penumpang hadapan, Mohd Salihin Yasar, 17.

Mangsa yang cedera pula ialah Nurul Atikah Abdullah, 17, Nurul Idayu Nasri, 18, dan Nor Asmira Mahadi, 21.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Alif Amani dikatakan hilang kawalan, lalu terbabas ke jalan bersebelahan dan menghalang laluan.

Pada masa sama, kereta dipandu Hok Sun yang menghala ke Tanah Merah merempuh kereta yang dinaiki lima orang terbabit.

Akibat kemalangan itu, Hok Sun mati di tempat kejadian, manakala Mohd Alif Amani dan Mohd Salihin meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTM.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 30 April 2016


Tak sangka anak kemalangan

Jenazah Mohd Alif Amani dibawa keluar dari Masjid Ismail Petra Tanah Merah selepas solat jenazah. Gambar kecil: Mohd Alif Amani

TANAH MERAH - “Saya tak sangka mangsa kemalangan itu anak saya,” kata ibu kepada Mohd Alif Amani Mohd Zardi, 20, yang maut dalam kemalangan jalan raya mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 2.4, Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, awal pagi semalam.

Zalina Ghani, 40, berkata, dia hanya tahu mangsa kemalangan jalan raya itu anaknya apabila sampai di tempat kejadian yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Jalan Wan Ahmad, dekat sini.

“Saya pergi situ sebab nampak ada kemalangan, tapi tak tahu dia (Mohd Alif Amani) terlibat. Allahyarham memang biasa keluar malam dan sebelum kejadian, dia baru keluar tapi tak tahu nak ke mana,” katanya semalam.

Menurut Zalina, Mohd Alif Amani yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan luar biasa.

“Allahyarham seorang pendiam dan kerja bantu ayah dia sebagai pomen (mekanik) motosikal. Sebelum hari kejadian pun, dia diam macam biasa,” katanya.

Mohd Alif Aiman meninggalkan seorang isteri berusia 19 tahun dan anak berusia dua tahun.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Ismail Petra Tanah Merah sebelum disemadikan di Tanah Kubur Besar Tanah Merah selepas solat Zohor.

Turut terkorban dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi itu, penumpang hadapan kereta Honda Civic yang dipandu Mohd Alif Amani, Muhammad Salihin Yasar, 17, dan pemandu sebuah lagi kereta terlibat, Tan Hok Sun, 28.

Hok Sun dari Kampung Jelatok yang bekerja sebagai mekanik kereta terbunuh di tempat kejadian, manakala Mohd Alif Amani dan Muhammad Salihin dari Pondok Lama, Banggol Kemunting meninggal dunia di Hospital Tanah Merah (HTM).

Manakala tiga remaja perempuan yang berada di tempat duduk belakang Honda Civic, Nurul Atikah Abdullah, 17, Nurul Idayu Nasri, 18, dan Nor Asmira Mahadi, 21, cedera parah dan kini dirawat di HTM.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Alif Amani dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas hilang kawalan apabila sampai di tempat kejadian, lalu terbabas ke jalan bersebelahan dan menghalang laluan.

Pada masa sama, kereta Proton Wira dipandu Hok Sun yang datang dari arah Pasir Mas menghala ke Tanah Merah gagal mengelak, lalu merempuh kereta dinaiki lima mangsa terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wartawan Sinar Harian
1 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment