May 11, 2016

Tiga kampung dilanda ribut

Mustapa (dua, kiri) meninjau rumah Mohamad (dua, kanan) yang mengalami kerosakan teruk pada bumbung.

Norfarhiza Mohd Atar

MERAPOH - “Dalam keadaan cemas, saya lihat keseluruhan kayu bumbung tercabut dan atap zink diterbangkan ribut serta keseluruhan bumbung rumah rosak teruk,” kata Mohamad Senik.

Warga emas berusia 60 tahun itu antara penduduk yang terjejas apabila ribut melanda tiga kampung, di sini, kelmarin.

Sebanyak 20 rumah penduduk di Kampung Merapoh, Kampung Kubang Rusa dan Kampung Kechau Tui, mengalami kerosakan ketika kejadian kira-kira jam 6 petang itu.

Mohamad yang tinggal di Kampung Kubang Rusa berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat dalam rumah kerana baru pulang dari kebun.

“Tiba-tiba, saya terdengar bunyi kuat gegar bumbung dan atap rumah. Mujur, kayu dan atap tidak jatuh ke dalam rumah. Kalau tak, mungkin ada yang cedera.

“Alhamdulillah, semua ahli keluarga saya selamat cuma bumbung rumah kami rosak teruk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya semalam.

Menurutnya, dia berharap kerajaan menyalurkan bantuan untuk membeli peralatan dan membaik pulih bumbung rumahnya.

20 rumah rosak teruk

Ketika detik cemas selama kira-kira 20 minit itu, sebanyak 20 rumah terjejas teruk.

Kebanyakan kediaman mangsa mengalami kerosakan pada bumbung dan atap, malah bencana itu juga mengakibatkan keretakan siling apabila banyak pokok tumbang.

Penduduk Kampung Kechau Tui, Mat Zaki Yunan, 56, berkata, ketika kejadian, dia dan keluarganya sedang minum petang dan mereka tidak menyangka angin perlahan dalam hujan renyai bertukar menjadi ribut.

“Dalam tempoh beberapa saat sahaja bumbung dan atap zink rumah kami terkopak dan diterbangkan angin kencang,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun dia bersyukur kerana keluarganya selamat dan turut berharap kerajaan dapat membantu membaik pulih kerosakan rumahnya.

Adun janji salur bantuan

Prihatin dengan nasib penduduk terlibat, Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Kampung Merapoh, Tengku Othman Tengku Daud, turun padang menziarahi mereka.

Mustapa turut berjanji untuk menjaga kebajikan mangsa ribut dan membaik pulih rumah yang rosak teruk.

“Kerajaan negeri akan membantu membaik pulih rumah mangsa berkenaan selepas taksiran kerosakan masing-masing dilaporkan oleh Ketua Kampung dan Penghulu Mukim.

“Buat permulaan, pejabat kawasan Dun Padang Tengku akan bantu salur keperluan kecemasan, iaitu barang makanan dan peralatan tertentu kepada mangsa yang mengalami kesusahan akibat bencana ini,” katanya.

Naib Ketua Umno Bahagian Lipis itu berkata, pihaknya meminta ketua kampung dan penduduk bergotong-royong membaik pulih bumbung dan atap zink yang rosak demi keselesaan mangsa terlibat.

Beliau berkata, pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lipis turut memantau dan menyenaraikan penduduk terjejas untuk diberi bantuan di bawah dana kecemasan bencana alam agensi berkenaan.

Sinar Harian 10 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment