May 5, 2016

Tidak ku pinta dilahirkan begini

Sejak enam tahun lalu, Mohd Nabiq Haikal Nur Azli yang kini berusia lapan tahun terlantar dengan hanya matanya terbuka akibat menghidap Cerebral Palsy (CP) dan masalah paru-paru kronik. - Foto Ihsan Keluarga

Tidak sempurna Shamsila Muhammad, 46, menganggap Nabiq ialah anugerah Allah yang tidak ternilai dan harus dijaga sebaiknya. - Foto Ihsan Keluarga

Nurul Huda Kosnon
nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Saya hampir putus asa apabila jantungnya terhenti selama sejam ketika usianya dua tahun namun dengan kuasa Allah SWT, dia masih lagi bernyawa sehingga hari ini.

"Saya anggap Nabiq adalah anugerah Allah Ilahi yang tidak ternilai dan perlu diterima secara ikhlas biarpun keadaannya tidak seperti kanak-kanak lain.”

Demikian kata Shamsila Muhammad, 46, yang tinggal di Kampung Panchor, Gunung Bachok, Kelantan, berharap anak kesayangannya, Mohd Nabiq Haikal Nur Azli, 8, segera sembuh dan mampu hidup seperti kanak-kanak lain.

Nabiq yang dilahirkan sempurna dengan berat badan kira-kira 4.6 kilogram (kg), dikesan menghidap Cerebral Palsy (CP) dan masalah paru-paru kronik ketika usianya dua tahun selepas menghidap jaundis (demam kuning).

Cerebral Palsy ialah kelumpuhan otak, biasanya akibat kekurangan oksigen ke otak menyebabkan gangguan terhadap pergerakan, keseimbangan dan postur tubuh.

Sejak itu, Nabiq tidak boleh bergerak dan hanya terlantar dengan hanya matanya terbuka.

Shamsila yang juga suri rumah berkata, ketika dirawat akibat demam kuning itu, jantung Nabiq tiba-tiba terhenti selama sejam dan doktor memaklumkan anaknya tiada harapan untuk hidup.

"Saya berasa dunia gelap dan tidak dapat digambarkan keadaan ketika itu, hanya Tuhan yang tahu.

"Namun kuasa Allah SWT, selepas sejam Nabiq menangis dan jantungnya berfungsi seperti biasa," katanya dalam nada sebak ketika dihubungi Harian Metro di Kelantan.

Menurutnya, pihak hospital menempatkan anak bongsu daripada lima beradik itu di Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi dia kemudian koma selama sebulan.

"Selepas Nabiq sedar, saya terkejut dengan keadaannya yang sudah tidak boleh bergerak, hanya menangis dan matanya saja terbuka.

"Doktor mengesahkan Nabiq menghidap CP dan paru-paru kronik. Ketika itu saya bagaikan tidak mampu menerima kenyataan keadaan anak saya," katanya.

Kini, selepas lebih enam tahun Nabiq menghidap penyakit itu, dia menganggap anaknya itu anugerah tidak ternilai yang harus dijaga sebaiknya.

"Saya yakin ada hikmah dan dan apa yang saya lalui sudah ketentuan Yang Maha Esa. Saya redha dan berdoa Nabiq segera sembuh," katanya.

Namun, disebabkan pendapatan suami, Nur Azli Mohd Ardsad, 49, bekerja kampung yang tidak menentu dengan mengambil upah membuat rumah, dia bingung memikirkan kos rawatan anaknya.

“Pendapatan suami sebulan hanya RM600 manakala kos rawatan Nabiq mencecah RM1,200 sebulan. Kami juga bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk keperluan rawatan.

“Dua anak saya masih bersekolah di tingkatan lima dan tahun enam. Sudah menjadi kebiasaan kami sekeluarga, termasuk anak yang lain mengikat perut hampir saban hari kerana wang yang ada disimpan untuk kos rawatan Nabiq.

"Saya berharap sesiapa saja membantu menghulur bantuan bagi membiayai kos rawatan Nabiq bagi meringankan beban keluarga,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun CIMB 8602 4983 68 milik Nabiq.

Penderitaan Nabiq viral di Facebook sejak semalam dan sudah mendapat lebih 6,000 'like' serta turut dikongsi lebih 1,200 pengguna laman sosial itu.

myMetro 3 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment