May 9, 2016

Tiada air mandi jenazah

Anggota bomba bekalkan air kepada penduduk Kampung Langok bagi mandikan jenazah.

Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjung memberi khidmat khas membekalkan air kepada penduduk kampung bagi memandikan jenazah seorang warga emas di Kampung Langok, Dewan Beta, semalam.

Ketuanya, Zainal Fitri Husin berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung jam 8.11 pagi meminta bantuan membekalkan air bagi memandikan jenazah Bidah@Kalsom Senik, 66, berikutan air perigi di rumah berkenaan kering akibat fenomena El Nino.

Katanya, arwah meninggal dunia kerana menghidap angin ahmar jam 8 malam kelmarin.

“Kita ke rumah keluarga terbabit selepas dimaklumkan seorang ahli keluarganya mengenai kematian berlaku di rumahnya. Lima anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian dengan membawa hampir 5,000 liter air untuk tujuan berkenaan.

“Alhamdulillah, urusan memandikan jenazah berjalan lancar sebelum dikebumikan,” katanya di sini, semalam.

myMetro 9 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment