May 11, 2016

‘Terpaksa guna kereta sorong’


Shaziah (tiga, kiri) bersama Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Jati Muar (PKAJM), Ahmad Tarmizi Yahya (dua, kanan) selepas menyerahkan kerusi roda khas untuk Nur Diyanah.

NOR ALINA HASSAN

TANGKAK - Penderitaan seorang kanak-kanak berusia 5 tahun yang menghidap penyakit hydrocephalus mendapat perhatian sebuah kelab sukarelawan dengan menghulurkan sumbangan berbentuk kerusi roda.

Ketua Skuad Johor, Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS), Shaziah Ismail berkata, pihaknya melancarkan tabung untuk Nur Diyanah Mohd Khairy selama seminggu bagi menampung pembelian kerusi roda khas menerusi Facebook KELSS.

Nur Diyanah disahkan menghidap hydrocephalus iaitu tumbesaran kepala tidak normal dan ketidakupayaan fizikal sejak lahir. Penyakit itu menyebabkan dia tidak berupaya berjalan dan hanya mampu terbaring sepanjang masa.

Ibunya, Sumarmi Barnin, 31, berkata, ekoran ketidakupayaan itu, Nur Diyanah atau mesra dengan panggilan Nana memerlukan sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan anak bongsu daripada dua beradik itu.

“Harga sebuah kerusi roda bernilai RM1,900. Kami tidak ada wang sebanyak itu untuk belikan Nana kerusi roda.

“Jadi, selama ini kami hanya guna kereta sorong (stroller) untuk memudahkan pergerakannya dan uruskan kehidupan sehariannya,” katanya ketika ditemui di kediaman bapanya di Kampung Parit Kasan, Bukit Gambir di sini, semalam.

Menurutnya, pendapatan bulanan mereka sekeluarga juga agak terhad memandangkan hanya suaminya, Mohd Khairy Paimin, 35, bekerja, sementara dia suri rumah.

“Saya tak boleh bekerja kerana perlu memberi tumpuan menjaga Nana, sementara suami pula bekerja di sebuah kilang dekat Sungai Mati.

“Nana sememangnya kanak-kanak periang, namun pergerakannya terbatas akibat penyakit dihidapinya dan hanya mampu menyebut perkataan ayah. Dia akan merengek apabila mahu minum susu atau makan bubur,” katanya.

Bagaimanapun, Sumarmi bersyukur kerana tumbesaran kepala anaknya itu masih dapat dikawal.

“Kami lega kerana kepala Nana tidak membesar. Setiap kali mendapatkan rawatan, doktor mengukur lilit kepalanya tapi dia tak mampu duduk akibat kesan saraf dan hanya terbaring.

“Sepanjang membesarkan Nana, saya dan suami terpaksa berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut dan pihak hospital memberitahu akan melakukan pembedahan sekiranya kepala Nana semakin membesar,” katanya.

Dalam pada itu, Sumarmi rasa terharu apabila ada pihak tampil membantu keluarganya.

Menurutnya, dia berterima kepada KELSS yang sanggup mengusahakan dana bagi membeli sebuah kerusi roda khas untuk memudahkan pergerakan membawa anaknya, sama ada ke hospital atau berjalan-jalan di luar.

“Kami juga berterima kasih kepada krew Budak Kampung dari Muar yang mengambil inisiatif mengumpulkan sumbangan RM620 yang telah disampaikan oleh wakilnya untuk Nana,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Sumarmi menerusi talian 011-3365 5379 atau menyalurkannya ke akaun Agro Bank 2007571000022960 (Mohd Khairy).

Sinar Harian 10 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment