May 21, 2016

Terpaksa beri anak mi segera

Letchemy sempat menyusun sebahagian keperluan makanan dibantu Rozana dan Skuad Sayang di rumahnya, semalam.

BANTING - “Bila akak tak cukup duit, akak terpaksa masak mi segera untuk anak, akak risau dia lapar,” demikian luahan seorang ibu tunggal, V Letchemy, 38.

Menurutnya, dia terpaksa bekerja sebagai pembantu rumah harian untuk menyara kehidupannya dan seorang anaknya, K Kartikesan, 7, sejak berpisah dengan suaminya.

"Saya memang kena kerja keras untuk cari duit... kalau tak ada kerja, tak ada duit dan kami nak makan apa? Saya memang simpan bekalan mi segera, sesak-sesak boleh makan.

"Saya juga kena berjimat dan ada masanya kena masak mi segera untuk anak sebab takut dia lapar, tapi sampai bila saya nak bagi dia makan mi segera setiap hari," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan Ziarah Prihatin Skuad Sayang di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia tidak pernah putus asa untuk pergi rumah ke rumah yang memerlukan khidmat pembantu.

"Saya akan usaha juga cari kerja untuk pastikan saya boleh bayar sewa rumah dan sara hidup kami berdua. Walaupun dapat tak banyak mana sekitar RM500 ke RM600... itu dah cukup bagus.

"Nak ikutkan memang tak cukup... tapi kalau saya nak kerja dari pagi sampai petang, siapa pula nak tolong jaga anak? kalau nak hantar orang memang saya tak mampu.

"Nak tak nak saya kena ikat perut sebab banyak yang nak kena bayar.. rumah sewa saja dah RM400 sebulan, yuran dan belanja sekolah anak, keperluan harian dan macam-macam lagi," katanya.

Dalam pada itu, Letchemy berkata, dia tidak pernah terfikir ada pihak prihatin dengan kehidupannya dua beranak.

"Terima kasih sebab datang rumah dan bantu kami dengan barang keperluan dapur ni. Ringan juga beban saya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Dan Keluarga (MPWK) Parlimen Kuala Langat, Rozana Kamarulzaman berkata, pihaknya bersedia memberi khidmat sokongan dan kaunseling kepada semua bangsa selain membantu menyalurkan bantuan sekiranya layak.

Menurutnya, ibu tunggal antara golongan yang cekal dalam membesarkan anak-anak selepas ketiadaan suami.

“Bagi kes Letchemy ini, saya lihat dia gigih berusaha dan sanggup mencari pekerjaan sampingan menjadi pembantu rumah sebab nak sara anak... kita puji sikapnya ni.

“Malah, dia sendiri ambil, isi dan dapatkan pengesahan borang permohonan bantuan untuk dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya yang akan memanjangkan permohonan  itu ke JKM Kuala Langat.

Katanya, Skuad Sayang akan terus mendekati rakyat, terutama ibu tunggal untuk memberikan sokongan moral dalam meneruskan kehidupan.

"Ibu tunggal ni kuat, tapi ada masanya lemah... bukan sebab mengalah tapi mereka perlukan sokongan," katanya.

Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment